fbpx

Mahkamah: Isu fidlot NFCorp, kerajaan dapat balik RM120.64 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Salleh ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Kerajaan Malaysia menuntut pembayaran pinjaman dan faedah sebanyak RM120.64 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Hakim Anand Ponnudurai memutuskan demikian selepas membenarkan saman Kerajaan Malaysia terhadap syarikat itu dan 10 defendan lain termasuk Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya.

Kerajaan bagaimanapun gagal mendapatkan sepenuhnya RM253.6 juta pembayaran pinjaman dan faedah yang dipohon apabila mahkamah hanya membenarkan sebahagian jumlahnya.

“Mahkamah berpuas hati dengan defendan bahawa jika keseluruhan tuntutan RM253.6 juta dibenarkan, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan kerajaan memperoleh kekayaan secara tidak adil dan tidak wajar,” ujar beliau.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim berkenaan berkata, NFCorp selaku defendan pertama diperintah membayar balik RM33.74 juta iaitu jumlah yang tidak digunakan dalam pinjaman tersebut.

Selain itu, mahkamah turut berpuas hati bahawa Kerajaan Malaysia selaku plaintif layak mendapat semula keseluruhan wang RM86.9 juta yang disita daripada defendan yang kini disimpan oleh Akauntan Negara.

Hakim berkenaan turut memerintahkan tiga bidang tanah masing-masing di Gemas, Putrajaya dan hartanah One Menerung di Bangsar yang dibeli menggunakan pinjaman itu, dipulangkan kepada kerajaan.

Mahkamah turut membenarkan tuntutan balas NFCorp selepas berpuas hati kerajaan melanggar terma-terma perjanjian pinjaman dan perjanjian implementasi yang dimeterai oleh kedua-duanya serta memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 kepada syarikat itu.

Dalam alasan penghakimannya, Hakim Anand berpendapat, dakwaan plaintif bahawa defendan gagal menjelaskan pembayaran ansuran, sebagai tidak bermerit.

Beliau turut berpuas hati kerajaan melanggar perjanjian implementasi kerana menggantung projek itu secara unilateral walhal pembayaran ansuran bagai 2012 dan 2013 telah dijelaskan.

Dalam keputusan itu, Hakim Anand berpendapat, saksi-saksi plaintif daripada Kementerian Kewangan gagal mengemukakan bukti kewujudan isu konspirasi, penipuan dan pecah amanah melibatkan ahli keluarga Mohamad Salleh dan syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan manakala peguam Datuk K. Kirubakaran mewakili 11 defendan.

Dalam saman itu, plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama manakala Mohamad Salleh yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai defendan kedua.

Turut dinamakan sebagai defendan, tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Defendan lain ialah enam syarikat dikawal keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd., Real Food Corporation Sdn. Bhd., Meatworks Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., Asian Bioscience Corporation Sdn. Bhd. dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI