KUALA LUMPUR – Berbaki tiga hari lagi menjelang hari penentuan mesyuarat agung luar biasa (EGM) KNM Berhad pada 16 Oktober ini, kumpulan pengarah baharu yang dicadangkan masih terus aktif berusaha untuk meningkatkan keyakinan pelabur syarikat tersebut agar mereka membuat keputusan terbaik dalam pengundian bagi menentukan masa depan syarikat yang lebih baik.
Pengundian secara maya itu pada Isnin ini bakal melihat samada kepimpinan Pengerusi semasanya, Tunku Yaacob Khyra dan kumpula llembaga pengarahnya masih kekal di kerusi pihak pengurusan tertinggi syarikat atau diganti dengan kumpulan lembaga pengarah baharu yang dicadangkan.
Kumpulan baharu tersebut diketuai oleh kakak sulung Sultan Johor, Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan juga bilionair dari Jerman, Andreas Heeschen.
Sidang akhbar kedua telah diadakan di sini hari ini bagi memberi ruang dan peluang kepada Kamariah dan rakan-rakannya memaklumkan kepada para pelabur mengenai impak negatif yang bakal berlaku jika pihak pengurusan lama dikekalkan selain menjelaskan hala tuju kumpulan tersebut yang membawa kepada kebaikan KMN.
“Kami bimbang terhadap nasib seramai 34,018 pemegang saham tentang pelan lembaga pengarah semasa yang bercadang untuk menyingkirkan aset dan menyebabkan saham yang mereka miliki nanti tiada nilai atau mungkin berada pada kadar yang rendah.
“Kami sebagai pemegang saham melihat rancangan sedia ada ini tidak akan memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan dalam KNM.
“Kami juga bimbang terhadap nasib pemiutang yang mana hutang tertunggak syarikat yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan dan pembekal, sehubungan itu, kami perlu memastikan semua pihak mendapat faedah bukan hanya kepada pemegang saham tetapi juga pemiutang,” katanya.
Kamariah menerangkan, sebagai inisiatif lembaga pengarah baharu jika diberi mandat oleh para pemegang saham, pihaknya berkeyakinan untuk mengeluarkan bon kepada pelabur institusi Eropah yang telah dikenal pasti dalam jumlah €110 juta (RM550 juta) dengan menggunakan jaminan tertentu daripada aset KNM.
Melaluinya, pembayaran kepada pemiutang dalam tempoh 90 hari selepas mengambil alih jawatankuasa akan dilaksanakan.
“Penerbitan bon ini tertakluk kepada ujian kelayakan biasa dan maklumat yang pada masa ini tidak kami miliki,” ujarnya.
Selain itu, beliau memaklumkan, setelah proses tersebut dan pihak lembaga pengarah semakin memahami tentang progress syarikat dengan lebih baik, peningkatan modal pemegang saham yang dianggarkan sehingga RM 600 juta akan dilaksanakan.
“Ia bertujuan untuk menetapkan semula kertas kerja syarikat dan menyediakan modal yang diperlukan untuk membiayai operasi KNM di peringkat kumpulan,” ujarnya.
Tambah beliau, KNM juga akan melaksanakan Rancangan Penstrukturan lima tahun untuk memulihkan aset yang tidak berprestasi dan mencipta nilai pemegang saham.
“Ini termasuk pelaburan ke dalam aset sedia ada seperti memulakan semula kerja di bengkel Malaysia dan kilang etanol di Thailand tertakluk kepada kajian kelayakan.
Mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, Kamariah menerangkan, pihaknya bercadang untuk menyuntik perniagaan tambahan ke dalam syarikat untuk menyokong kapasiti semua anak syarikat yang beroperasi.
Ini termasuk pelaburan ke dalam projek etanol Impress di Thailand, untuk memulakan semula fasiliti dan mungkin meningkatkan saiznya daripada 200,000 liter sehari kepada 500,000 liter sehari.
Jelasnya, aset ini seperti yang lain dalam KNM hanya memerlukan modal dan pengurusan yang sesuai untuk menjadikan aset yang berprestasi,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE