fbpx

Belanjawan 2024: Kakitangan awam dapat bonus RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Menurut beliau, kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.

Katanya, SSPA ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.

“Bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anakanak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal,” katanya ketika membentang Belanjawan 2024 di Parlimen semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.

“Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus. Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi memastikan nasib penjawat awam terbela Anwar berkata, kerajaan bersetuju agar liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 selaras dengan pindaan Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.

“Kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar
RM1.6 juta.

“Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa
bertugas,” katanya.

Dalam menggalakkan penghasilan batik Malaysia yang berkualiti tinggi Anwar berkata, kerajaan bersetuju memperluas kemudahan bantuan bayaran pakaian menghadiri upacara rasmi untuk meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI