fbpx
SETIA BAND

Penuh galau, tak keruan tonton Charly, Setia Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GALAU dan syahdu. Demikian istilah tepat sebagai gambaran persembahan ikonik Setia Band menerusi Konsert Setia Band: 20 Tahun Charly Berkarya yang menghimpunkan lebih 2,000 peminat baru-baru ini.

Gelanggang Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan cemerlang susuk bersuara merdu disambut sorak peminat sebaik angkatan pemuzik dari Indonesia itu menguasai pentas.

Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan vokalisnya, Charly van Houten diiringi barisan kumpulan Setia Band disambut jeritan penonton yang lama mendambakan hiburan langsung daripada kumpulan pujaan mereka itu.

Tampil sederhana, barisan kumpulan asal Bandung itu hanya mengenakan dua persalinan pakaian sepanjang konsert, malah vokalisnya Charly santai menggayakan jaket tiga rona warna diacu bersama baju-T dan bercelana jeans.

Konsert berdurasi dua jam tersebut langsung tidak menghadir rasa bosan atau ada audiens tiba-tiba menguap tanda mengantuk. Muda-mudi terutama peminat wanita mudah tidak keruan apabila vokalis tampan itu memberi salam tanda memulakan persembahan.

Deretan lagu galau

Khalayak maklum, rantaian lagu hits kumpulan dibarisi empat lelaki berbakat itu pasti membawa mereka ke terowong masa seiring imbasan semula kisah cinta yang mungkin pernah mekar berlatarkan lagu tersebut.

Antara repertoire persembahan adalah Jangan Pernah Berubah, Aku Terjatuh dan Aku Masih Sayang diikuti dengan lagu yang membuat sekitar 2,000 penonton melompat dan menari seperti Istana Bintang, Biarkan Aku Jatuh Cinta dan Terlalu.

Charly melantunkan lebih 15 dendangan termasuk lagu hitsnya bersama kumpulan terdahulu iaitu ST12 yang pernah menjadi siulan bahkan fenomena dalam arena muzik tanah air.

Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan lagi dengan istimewa khas buat rakyat Malaysia menerusi lagu daripada kumpulan Search, Slam dan Iklim iaitu Isabella, Gerimis Mengundang dan Bukan Ku Tak Sudi.

SETIA BAND bukan sahaja dianggap kumpulan berpengaruh, malah diangkat sebagai penghibur serba lengkap dengan pakej suara vokalis seksi diiringi kehandalan permainan muzik masing-masing.

Bayangkan, penonton yang sedang khayal dibuai seleksi ‘healing’ itu kembali berteriak sebaik si vokalis tampan itu mula membuka mulut menyanyikan lagu popular penyanyi legenda tempatan, sekali gus menghangatkan malam penuh nostalgia tersebut.

Kata Charly, tidak lengkap persembahannya tanpa menghadiahkan sebuah lagu malar segar asal Malaysia yang juga alunan kegemaran rakyat Indonesia.

“Terimalah lagu yang popular seantero Nusantara, juga menjadi inspirasi kepada saya untuk terus berkarya,” tutur Charly sebelum mengunyah lumat emosi penonton yang sudah sedia terbuai dek nyanyiannya.

Lantas, nyanyian sepenuh hati kumpulan dari negara seberang itu menjadi ‘sing along’ di bibir penonton yang sudah sebati dengan lirik dan melodi berkenaan.

Jujur, Zepp Kuala Lumpur bergema dengan sorakan penuh tenaga tanpa henti yang membangkitkan gelora jiwa kacau dan keasyikan semua penonton yang hadir.

Terlihat juga penonton ikut melambaikan tangan mengikuti alunan syahdu muzik, pasangan suami isteri menyanyi sambil memeluk cinta hati masing-masing, barangkali teringat kembali memori indah yang pernah terpateri.

Artis jemputan

Istimewanya konsert malam tersebut, penonton yang hadir tidak cuma disajikan dengan suara seksi vokalis, malah dihiburkan juga dengan alunan merdu tiga lagi artis jemputan.

Bermula dengan duet bersama Restu, anak teruna Charly yang mempunyai suara mirip semerdu bapanya dan jika dipejamkan, nescaya sukar untuk membezakan yang mana anak dan yang mana bapa.

Paduan suara bapa dan anaknya menerusi dua buah lagu iaitu Jangan Ada Kata Pisah dan Kehilangan disambut sorakan ramai yang bagai histeria melihat dua beranak raut tampan itu berkongsi pentas.

Momentum konsert dimantapkan lagi persembahan duet bersama legenda tanah air, Poey Stings yang menyuntik adrenalin sebaik mereka mendendangkan lagu malar segar berjudul Adakah Kau Setia Kepadaku.

Nyata, duet antara mereka sangat menjadi apabila suara sengau seksi Charly bersatu dengan lantunan suara ‘jantan’ Poey sehingga penonton tampak terkesima sebelum gemuruh bertepuk tangan tanda kepuasan.

Konsert diteruskan lagi dengan duet bersama vokalis kumpulan 9 Band yang juga adik kepada Charly menerusi lagu Hafizah, sekali gus membuatkan ruang sekali lagi gegak gempita.

SERAMAI 2,000 penonton menjadi saksi keampuhan dan betapa beremosinya malam persembahan bersejarah Setia Band di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kehandalan anggota kumpulan Setia Band bermain instrumen diiringi mini orkestra menjadikan konsert tampak mahal dan eksklusif bahkan tidak langsung kedengaran canggung.

Ironinya, tidak keterlaluan jika dikatakan konsert berkenaan mempunyai kualiti tinggi, selain mempamerkan keaslian aura setiap figura di atas pentas.

Bertenaga

Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak demi mereka.

Kepanasan kemudian diteruskan dengan lagu Puteri Iklan, Asmara, Saat Terakhir dan Gadis Malaysia sebelum menutup persembahan.

Semua yang tersaksi membuktikan Charly terus relevan. Meskipun sudah hampir dua dekad bergelar anak seni, aura mereka tetap sama seperti pada awal kemunculan dahulu.

Tidak berundur tanpa lagu wajib karaoke, P.U.S.P.A sebagai seruan buat semua yang pernah menaruh harapan kepada seseorang, namun tidak dipandang, suara penonton nyata turut bergema mengikut bait-bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa mereka.

Tiada perasaan yang dapat menggambarkan malam bersejarah itu selain segunung kepuasan.

Hampir tiada cacat cela, vokal Charly mengalir indah seperti dulu-dulu, sistem audio juga tidak terlalu bingit seiring cemerlangnya pencahayaan pentas jua paparan skrin LED.

Kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan umur menjadi bukti konkrit, tidak kira usia tua atau muda, mereka tetap sempurna melukis memori bersama larut dalam alunan lirik-lirik lagu penuh makna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN