fbpx

Ramai B40 sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PENYAKIT berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan merekodkan 18,515 kematian.

Statistik terkini Jabatan Pe­rangkaan Malaysia 2022 menunjukkan bahawa Ischaemic heart diseases mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini pada tahun 2021, iaitu 13.7 peratus selepas Covid-19.

Jika dahulu, penyakit jantung lazimnya melibatkan individu berusia antara 40-an dan ke atas, namun kini, terdapat trend pe­ningkatan masalah berkaitan jantung yang melibatkan golo­ngan muda.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi Residen dan Perubatan Am, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Mohd. Shahrom Ujang, semakin ramai golongan muda khususnya dalam kumpulan B40 dan ini merupakan sesuatu yang membimbangkan.

“Peningkatan masalah sakit jantung dalam kalangan generasi muda merupakan satu trend yang dapat dilihat ketika ini, khususnya melibatkan golongan B40.

“Pandemik Covid-19 yang berlaku telah menyebabkan ramai yang dahulunya berada dalam kumpulan M40 kini berada dalam kelompok B40, menjadikan demografik bagi golongan itu semakin membesar,” katanya.

Tambah Mohd. Shahrom, faktor terbesar yang menyumbang kepada masalah itu adalah tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Golongan berpendapatan rendah lebih cenderung makan makanan tinggi karbohidrat seperti nasi dalam jumlah yang banyak.

“Hal ini adalah kerana harganya yang lebih murah, lebih mudah diakses dan juga ia lebih mengenyangkan.

“Nasi juga menjadi makanan ruji kebanyakan rakyat Malaysia dan ada yang menganggap tidak boleh hidup tanpa makan nasi sehari.

“Namun, perlu diingat nasi yang diambil dalam jumlah yang terlalu banyak itu boleh me­nyumbang kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, yang seterusnya menjadi faktor masalah jantung,” kata­nya.

Walaupun perubatan moden menawarkan pelbagai rawatan untuk pesakit jantung yang le­bih muda termasuk ubat-ubatan seperti statin yang boleh menstabilkan arteriosklerosis dalam beberapa kes, namun adalah lebih baik jika perkara itu dicegah berbanding diubati.

Selain pemakanan, tabiat me­rokok juga dikenal pasti menjadi punca yang menyumbang kepada masalah kesihatan tersebut.

Dalam beberapa kes terpencil, individu berusia seawal 23 tahun dikenal pasti menghidap masalah jantung tanpa menunjukkan faktor risiko klasik seperti arteriosklerosis atau hiperkolesterolemia.

Biarpun penyebabnya tidak begitu jelas, namun penyebab biasa dalam kebanyakan kes berkaitan jantung adalah pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat, dan juga tabiat buruk se­perti merokok.

Justeru, Mohd. Shahrom mengingatkan orang ramai adalah penting untuk untuk mengambil langkah tertentu sebelum terlambat, memandangkan penyakit jantung merupakan penyakit yang boleh membunuh.

“Kita perlu sentiasa mengi­ngatkan diri sendiri bahawa pe­nyakit jantung sering dikaitkan sebagai pembunuh dalam se­nyap.

“Tanda-tandanya hanya dapat dilihat apabila keadaan seseorang pesakit itu sudah semakin memburuk.

“Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengubah gaya hidup, kita akan dapat mengelak masalah ini daripada menjadi semakin parah, khususnya dalam kalangan belia,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.