PENDUDUK di Kampung Iboi dan kawasan berhampiran di Kupang, Baling dikejutkan lagi dengan kejadian banjir kilat yang menakutkan pada 27 September lalu.
Kejadian itu menyebabkan kira-kira 200 rumah yang kebanyakannya terletak berhampiran Sungai Kupang dilimpahi air bersama lumpur.
Limpahan air deras tersebut mengingatkan semula penduduk kepada tragedi kepala air yang mengorbankan nyawa tiga sekeluarga dan menjejaskan 3,546 orang selain memusnahkan 17 rumah dalam sekelip mata pada 4 Julai tahun lalu.
Bencana kali ini menyebabkan hampir 700 penduduk dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara dengan sekurang-kurangnya tiga jambatan di sungai itu rosak teruk.
Terdapat beberapa lokasi air naik sehingga paras lebih satu meter dengan banjir turut menghanyutkan beberapa kereta.
Malah, arus deras tersebut turut membawa kayu balak, batang dan ranting pokok.
Sebatang kayu balak turut dihanyutkan sehingga masuk ke rumah penduduk.
Bencana itu meskipun tidak ‘seganas’ tragedi aliran puing yang melanda kawasan sama pada tahun lalu, namun ia tetap memberi kesan emosi.
Penduduk yang terus dihantui dengan beberapa kejadian banjir selepas tragedi kepala air berkenaan menyebabkan perasaan bimbang dan trauma terus membekam dalam diri mereka.
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia Kedah, Mohd. Sobri Ramlee berkata, penduduk Kampung Iboi dan kampung berhampiran semakin dihantui kebimbangan susulan kejadian banjir lumpur tersebut.
“Selepas tragedi aliran dan banjir puing pada tahun lalu, kampung berkenaan dilanda beberapa kejadian banjir kilat.
“Kejadian itu adalah kedua terbesar selepas aliran puing tahun lalu yang sangat menakutkan buat penduduk di situ,” katanya.
Katanya, penduduk akan menjadi semakin trauma apabila mengenangkan bahaya mendatang.
“Mereka juga sudah terlalu penat apabila terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda selain letih mengerah kudrat membersihkan mendapan lumpur.
“Trauma itu bagai sudah ‘melekat’ di dalam hati mereka. Mereka akan rasa takut dan tidak senang duduk apabila berlaku hujan lebat dan melihat sungai mengalir deras,” katanya.
Menurutnya, apa yang menyedihkan, rata-rata penduduk di situ bukan keluarga senang dan tidak mudah untuk mereka menggantikan perabot atau perkakas elektrik yang rosak.
“Ada penduduk kata buat apa beli baharu, nanti rosak kalau banjir lagi. Rata-rata mereka yang tinggal berdekatan sungai itu tidak mampu untuk berpindah ke tempat lain,” ujarnya.
Bagi meredakan rasa trauma penduduk, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu segera menjalankan langkah bagi mengurangkan impak banjir di situ.
“Mereka perlu kaji semula lokasi yang tidak selamat diduduki penduduk di sepanjang jajaran Sungai Kupang dan pindahkan mereka ke tempat baharu yang lebih selamat,” katanya.
Ujarnya, semua perancangan termasuk pembinaan dua Empangan Sabo dan Rancangan Tebatan Banjir perlu disegerakan.
“Kerajaan tidak boleh tunggu lagi, sudah setahun berlalu selepas tragedi aliran puing belum ada apa-apa tindakan besar yang boleh kita lihat.
“Jangan tunggu ada kehilangan nyawa lagi baru nak percepat projek. Jambatan Bailey yang dibina bagi menggantikan jambatan musnah sebelum ini juga belum nampak ada tanda-tanda akan diganti baharu,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, kata beliau, tidak ada makna membina empangan jika guna tanah di Hutan Simpan Gunung Inas di sekitar empangan itu diganggu dan dieksploitasi.
“Lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk baik pulih kerosakan. Lebih penting ialah memulihkan semula ekosistem yang telah musnah dan dieksploitasi di situ,” tambahnya.














