BANGI – Atlet tenpin boling negara, Natasha Roslan dinobatkan sebagai juara dunia selepas menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane 2-1 pada Kejohanan Tenpin Boling Dunia di Salmiya, Kuwait awal pagi tadi.
Natasha berjaya merekodkan keputusan 259-194, 162-238, 185-165 pada aksi final individu wanita yang berlangsung di Pusat Boling Kuwait, sekali gus mengulangi pencapaian bersejarah 12 tahun lalu.
Ini adalah kali ketiga atlet wanita Malaysia berjaya ditabalkan sebagai juara dunia selepas Ester Cheah di Aalborg, Denmark pada 2005 dan Jacqueline Sijore dalam edisi 2011 di Hong Kong.
Ia juga koleksi gelaran dunia kedua buat Natasha selepas pernah menjuarai kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE