fbpx

PCG bina loji kitar semula kimia termaju, terbesar Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loji kitar semula rakan kerjasama PCG, Plastic Energy di Seville, Sepanyol.

PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membina loji kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilotan setahun (ktpa).

Loji tersebut yang bakal dibangunkan di Pengerang, Johor, dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026.

Ia akan menggunakan teknologi terpaten Plastic Energy Limited (Plastic Energy) untuk menukarkan plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis, yang boleh digunakan untuk menghasilkan plastik kitar semula.

Pengumuman FID berkenaan diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy serta penganugerahan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, melalui loji kitar semula kimia termaju ini, pihaknya mempunyai visi untuk memacu inovasi merentasi rantaian nilai plastik di samping mewujudkan peluang untuk semua, daripada pengumpul sisa hingga pengilang bagi bersama-sama menyumbang kepada ekonomi plastik sirkular.

Infografik loji kitar semula kimia termaju PCG di Pengerang.

“Ini membolehkan kami memarakan aspirasi negara dalam menyingkirkan plastik sekali guna secara berperingkat, selaras dengan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan lestari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Plastic Energy akan menyediakan teknologi kitar semula kimia untuk loji tersebut melalui proses TAC terpaten, yang memanaskan campuran sisa plastik pasca pengguna tanpa penggunaan oksigen.

Proses ini seterusnya menghasilkan wap hidrokarbon, yang melalui proses pemeluwapan menjadi minyak pirolisis atau TACOIL yang boleh digunakan sebagai pengganti stok suapan hidrokarbon dalam penghasilan plastik kitar semula gred makanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI