fbpx

Beras menghilang tetapi rokok tetap tak susut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Ibarat dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, begitulah nasib beras, telur dan minyak ketika ini.

‘Jual ganja ada lesen, jual candu ada lesen tetapi belacan tiada, saya smuggle dari Malaya.’ Demikian sebahagian dialog lucu yang masih segar hingga kini. Belacan yang diharamkan dijual itulah yang orang cari.

Puas penjual dadah menjerit di pasar, namun tiada siapa yang menyahut. Sejak dahulu lagi benda yang dihalang itulah yang paling laku dan diburu orang.

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan kehilangan beras tempatan di pasaran. Ia berkurangan kerana diborong sesetengah pihak lantaran berlaku lonjakan mendadak harga beras import.

Beras yang sepatutnya berada di dalam rumah B40 kini ‘ditapau’ habis-habisan oleh sesetengah pihak. Kerajaan mengatakan ia berlaku disebabkan pembelian panik oleh orang ramai kerana bimbang makanan asas itu sukar didapati.

Ada pihak marah dengan kenyataan itu kerana menurut mereka, kerajaan sepatutnya menyiasat hingga ke akar umbi siapa yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Sebagai pengguna, rakyat tiada pilihan melainkan kena juga beli beras tidak kira apa jenisnya kerana tidak mahu perut ahli keluarga kelaparan.

Lihat sahaja jualan rahmah beras. Begitu panjang barisan orang yang ingin membelinya. Jika dibawa berapa tan sekali pun, sudah tentu habis dijual.

Sama juga bekalan telur. Sekejap ada sekejap tiada. Macam biskut. Walaupun pelbagai alasan diberikan oleh pihak berkepentingan, namun ketirisan dan kekurangan bekalan masih lagi berlaku sehingga kini.

Peniaga dan pengguna makin kusut apabila ketika ini, ada ura-ura bekalan gula pula kurang di pasaran dan harganya di pasaran global mencecah pada tahap tertinggi.

Apa yang kita sering lupakan ialah perubahan iklim dunia dan faktor di luar kawalan yang berlaku mempengaruhi bekalan dan harga barang.

Kerajaan tentunya mempunyai perancangan yang disusun bagi mengimbangi kekurangan ini. Perlu diingat walaupun kita merancang mengimport bahan makanan asas ini, ada segelintir pihak yang menangguk di air keruh untuk menjadi petualang.

Penyeludup rokok misalnya tidak pernah berhenti menceroboh sempadan negara dalam apa jua keadaan.

Walaupun hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai rampasan dan operasi dilakukan, namun stok rokok di negara ini baik yang halal ataupun haram tidak pernah putus.

Keberadaan rokok sentiasa gah di rak-rak kedai mahupun pasar raya dan premis serbaneka. Belum pernah lagi kita mendengar penghisap rokok mengeluh stok putus. Apa yang sering kita dengar ialah keluhan harga rokok yang tak pernah jatuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI