fbpx

Tutup sekolah tanpa tunggu PPD jika IPU lebih 200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang menunjukkan keadaan jerebu di Seberang Perai dari pemandangan di Universiti Sains Malaysia pada Isnin lalu.

GEORGE TOWN – Operasi persekolahan boleh ditutup tanpa menunggu kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya situasi jerebu di kawasan masing-masing semakin teruk dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 200.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya meminta agar pentadbir sekolah agar sentiasa memantau keadaan jerebu serta kualiti udara dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“KPM memang ada satu garis panduan yang mesti diikuti dalam situasi jerebu iaitu jika bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid mesti dihentikan.

“Jika IPU mencapai 200 sekolah akan ditutup, semua pembelajaran secara dalam talian. Pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan PPD namun perlu memaklumkan kepada PPD,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew, hari ini.

Sebelum ini, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dilapor mengesan lebih 2,000 titik panas di sekitar Kalimantan, Indonesia.

Selain itu, beberapa kawasan mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat di mana
sebanyak tiga kawasan di Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan antara 101 hingga 200, setakat pukul 9 pagi hari ini.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), rekod IPU tertinggi direkodkan di dua kawasan di negeri Johor iaitu Pasir Gudang, iaitu 152 diikuti Larkin (156).

Menurutnya, pihak sekolah juga perlu menggalakkan murid-murid untuk memakai pelitup muka dan meminum air yang secukupnya bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik.

“Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak di rumah, kurangkan aktiviti luar dan pastikan mereka minum banyak air,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata, setakat pukul 9 pagi tadi, tiga daripada empat stesen bacaan IPU di Pulau Pinang merekodkan kualiti udara yang amat baik.

“Keadaan jerebu di negeri ini menunjukkan pengurangan kerana hujan turun beberapa hari ini.

“Saya telah memberi arahan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk memantau jika terdapat peningkatan kes yang terlibat dengan sistem pernafasan akibat jerebu untuk pihak kami menyusul dengan tindakan seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI