fbpx

Russia uji peluru berpandu nuklear paling hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peluru berpandu nuklear Russia mampu terbang sejauh beribu-ribu kilometer. - Kementerian Pertahanan Rusia

MOSCOW, Russia – Presiden Vladimir Putin mengesahkan bahawa Russia berjaya menguji peluru berpandu nuklear terhebat yang boleh berada di ruang udara selama beberapa minggu.

Akhbar The Sun melaporkan, peluru berpandu nuklear digelar ‘Chernobyl Terbang’ itu boleh menghancurkan sasaran sejauh berpuluh-puluh ribu kilometer.

Putin sebelum ini berdiam diri apabila ditanya sama ada beliau memberi kelulusan untuk mengadakan ujian nuklear, namun kelmarin berkata, Moscow berjaya menguji misil tersebut atau nama rasminya, Burevestnik.

Ia merupakan peluru berpandu kruz berkuasa nuklear dan berkeupayaan membawa bom nuklear.

Menurut Putin, Russia juga hampir menyiapkan sistem peluru berpandu balistik antara be­nua miliknya, Sarmat iaitu satu lagi elemen utama senjata nuklear generasi baharu Kremlin.

Putin yang berulang kali mengingatkan dunia tentang keupayaan senjata nuklear Russia sejak memulakan pencerobohan di Ukraine turut memberitahu, tiada pihak yang waras akan berani menggunakan senjata nuklear ke atas Moscow.

“Berbilang peluru berpandu kami, malah beratus-ratus akan muncul di udara sehingga tidak ada musuh yang dapat bertahan,” katanya.

Russia tidak melakukan ujian nuklear sejak 1990, tahun sebelum kejatuhan negara Kesatuan Soviet, namun Putin enggan menolak kemungkinan ujian bom nuklear boleh dimulakan semula.

Penganalisis-penganalisis tentera telah memberi amaran bahawa sekiranya Russia, Amerika Syarikat (AS) atau kedua-duanya sekali mengadakan ujian nuklear semula, ia akan ‘mengganggu kestabilan dunia’ berikutan ketegangan antara dua kuasa besar tersebut.

Pada Februari lalu, Putin menggantung penyertaan Russia dalam perjanjian START Baharu yang mengehadkan bilangan senjata nuklear sesebuah negara.

Putin secara terbuka berkata, beliau tidak gentar menggunakan senjata nuklear sebagai tindak balas kepada serangan ke atas Russia atau jika Moscow diancam oleh senjata nuklear negara lain.

Menjawab soalan penganalisis Russia, Sergei Karaganov yang menyokong penggunaan senjata nuklear, Putin berkata: “Saya tidak nampak keperluan untuk menggunakannya (senjata nuklear).”

“Tiada keadaan hari ini di mana sesuatu akan mengancam kedaulatan Russia dan kewujudan negara Russia. Tiada orang yang berfikiran waras memilih untuk menggunakan senjata nuklear ke atas Russia,” katanya.

Karaganov berhujah bahawa sudah tiba masanya untuk Russia meningkatkan potensi penggunaan senjata nuklear untuk ‘mengekang, menakutkan dan menyedarkan musuh’.

Beliau baru-baru ini menulis dalam satu artikel bahawa Russia harus ‘menggoncangkan’ musuh dengan mengancam serangan nuklear ke atas negara-negara Eropah dan pangkalan AS di Eropah. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI