fbpx

Mahkamah: Rosmah dakwa ada pertindihan tuduhan wang RM7 juta, gagal isytihar LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan terdapat pertindihan dalam 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7 juta dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh Rosmah, 71, berkata, pertuduhan tersebut bertindan antara satu sama lain yang mana ia sebenarnya merujuk kepada kesalahan yang sama sekali gus menghalangnya untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“Pertuduhan pertama hingga pindaan ke-12 (pengubahan wang haram) adalah cacat, kabur serta defektif kerana tidak menyatakan apakah aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh,” katanya.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian dalam afidavit jawapan yang difailkan 22 September lalu, bagi menjawab afidavit pihak pendakwaan dalam permohonannya Rosmah untuk membatalkan 17 pertuduhan tersebut.

Menurut Rosmah, butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 pula (gagal isytihar pendapatan) mengelirukan kerana telah menggabungkan kesalahan pengubahan wang haram.

“Oleh yang demikian, tidak jelas sama ada saya dipertuduhkan dengan kesalahan di bawah Aka Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 atau dengan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, sekiranya perbicaraan diteruskan dengan pertuduhan-pertuduhan yang sedia ada, maka ia bercanggah dengan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“Dengan hanya merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan tersebut, jelas bahawa saya tidak akan mendapat suatu perbicaraan yang adil. Tambahan pula, terdapat kemungkinan di mana saya akan dibicarakan, disabitkan dan dihukum lebih daripada sekali bagi satu kesalahan yang sama,” katanya.

Rosmah memfailkan notis usul itu, memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 4 Oktober 2020.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Untuk info Perbicaraan bagi kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dengan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI