fbpx

Lawatan kerja tiada kaitan dengan PRK – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. ZALIHA Mustafa ditemui selepas melakukan tinjauan di Klinik Kesihatan Chemomoi, Bentong.

BENTONG – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menafikan lawatannya ke Chemomoi di Pelangai, dekat sini mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Beliau berkata, kehadirannya di klinik kesihatan di daerah ini, hari ini, adalah atas kapasitinya sebagai seorang menteri bagi melihat keperluan dan kemudahan fasiliti kesihatan kerajaan yang berada di Pelangai.

“Tiada (kaitan pilihan raya), memang saya turun untuk apa-apa program untuk turun dan melihat sendiri fasiliti-fasiliti kerajaan.

“Saya datang memang tugas, saya datang dan selepas habis baru buat kerja lain, politik dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Klinik Kesihatan Chemomoi, di sini hari ini.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, SPR juga perlu memantau pengumuman dan pemberian insentif kepada kerajaan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha memaklumkan, beliau melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Telemong dan Klinik Kesihatan Chemomoi bagi melihat sendiri kelewatan projek pembinaan membabitkan dua fasiliti kesihatan berkenaan.

Katanya, Pusat Hemodialisis Klinik Kesihatan Chemomoi dikenali antara projek sakit di bawah Kementerian Kesihatan dan sepatutnya siap pada September lalu.

“Pembinaan sekitar 50 peratus, insya-Allah kita akan buat tender semula dan harap sekurang-kurangnya tahun depan siap pembinaan Pusat Hemodialisis Klinik Kesihatan Chemomoi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI