fbpx

[VIDEO] ‘Banjir kiriman Malaysia’, netizen tanya berapa kos penghantaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara klip video berita yang mendakwa bencana banjir di Indonesia adalah ‘kiriman Malaysia’.

PETALING JAYA – Penyampai berita di negara Indonesia mendakwa banjir yang berlaku di Kalimantan berpunca dari Malaysia.

“Selain disebabkan taburan hujan yang tinggi, banjir juga merupakan kiriman dari Malaysia,” lapor pemberita tersebut.

Katanya, bencana banjir yang berlaku di Daerah Nunukan, Kalimantan Utara telah menyebabkan ratusan rumah penduduk di 10 kawasan itu musnah kerana kiriman hujan dari Malaysia.

Sehubungan itu, klip video laporan tersebut menjadi tular di media sosial dan menimbulkan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ramai menganggap berita tersebut dibuat seolah-olah mahu menyalahkan negara Malaysia di atas bencana melanda negara seberang itu.

Malah ada netizen Malaysia sempat berseloroh menanyakan jumlah kos dan perkhidmatan apa yang digunakan untuk ‘mengirim’ hujan ke Indonesia seperti didakwa laporan tersebut.

“Berapa kos Malaysia hantar air banjir ke sana? Naik pesawat atau kapal kargo? Maaf saya hanya tanya, mesti mahal kan,” seloroh Adam.

“Banjir pun dah boleh kirim, jodoh bila nak dikirim pula,” komen Dee.

“Amboi, jerebu dari pembakaran di sana kau tak mengaku, bab banjir terus kata Malaysia kirim. Nampak sangat nak salahkan negara lain atas kecuaian negara sendiri, hujan ribut apa semua kiriman Allah, bukan kongsi-kongsi antara negara,” jelas Mahdzir.

Dalam pada itu, seorang individu yang juga warga Indonesia tampil membuat satu kenyataan memaklumkan penggunaan bahasa pemberita tersebut adalah tidak sesuai.

Katanya, perkataan ‘kiriman’ itu menimbulkan salah faham dalam kalangan penduduk negara dan rakyat Malaysia juga.

“Bahasa ‘kiriman’ itu tidak sesuai untuk disampaikan. Salah satu contoh dahulu gempa bumi di Sumatera, gegarannya dirasai sampai ke Selangor, Malaysia, malah tidak pernah pula dengar berita Malaysia kata ‘gempa bumi kiriman Indonesia’.

“Ingat bencana itu bukan kiriman siapa-siapa, ia kiriman sang pencipta (Allah SWT),” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI