fbpx

Perak di kedudukan ketiga tertinggi kes gangguan seksual 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (dua dari kiri) ketika hadir ke Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh hari ini.

IPOH – Perak dan Sabah berada di kedudukan ketiga tertinggi di negara ini selepas Selangor serta Kuala Lumpur bagi kes gangguan seksual berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak 36 kes gangguan seksual direkodkan di Perak yang mana 31 kes atau 86 peratus adalah melibatkan gangguan seksual terhadap kaum wanita.

“Kanak-kanak turut tidak terkecuali daripada gangguan seksual. Pada tahun 2022 sebanyak 35 kes gangguan seksual direkodkan di seluruh negara yang melibatkan mangsa kanak-kanak.

“Manakala bagi negeri Perak, sebanyak tiga kes gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak direkodkan,” katanya ketika berucap pada Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik PDRM, jumlah kes gangguan seksual meningkat dari 378 kes pada 2020 kepada 506 kes (2021).

“Bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan pada tahun 2022 iaitu kepada 477 kes. Jumlah kes yang dilaporkan ini adalah melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan wanita.

“Namun, majoriti mangsa adalah kaum wanita iaitu sebanyak 354 kes pada 2020, 446 kes (2021) dan 416 kes (2022). Statistik ini menunjukkan bahawa setiap tahun lebih 90 peratus daripada kes gangguan seksual adalah melibatkan mangsa di kalangan kaum wanita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, perlu diakui bahawa terdapat banyak kes gangguan seksual tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, dengan jumlah sebenar adalah lebih daripada yang dilaporkan.

“Terdapat juga punca kebanyakan mangsa tidak melaporkan kes gangguan seksual kerana jenayah tersebut bersifat subjektif dan sukar untuk membuktikan mereka adalah mangsa.

“Oleh sebab itu, mangsa tidak berani tampil ke hadapan untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya dan mengambil keputusan mengabaikan atau melupakan kes tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI