fbpx

Muka koyak, kaki kiri Orang Asli hilang dibaham harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa mayat mangsa untuk dibedah siasat di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Gua Musang petang tadi. FOTO AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Mayat lelaki Orang Asli yang dibaham seekor harimau belang sebelum diseret sejauh 300 meter ke cerun bukit di kawasan kebun kelapa sawit di Pos Pasik di sini, kelmarin ditemui dalam keadaan mengerikan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Pisie Amud, 25, dijumpai semalam oleh penduduk Orang Asli dengan keadaan kaki kiri yang telah tiada dan mukanya koyak selepas dipercayai dimakan haiwan tersebut.

Menurutnya, organ dalaman pada bahagian kepala mangsa juga sudah tiada selain terdapat kecederaan pada bahagian punggungnya.

“Selain itu, ada kesan cakaran pada leher mangsa akibat cengkaman kuku harimau berkenaan.

“Anggota keselamatan menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring di atas tanah di kawasan bercerun kawasan semak berhampiran dengan ladang sawit kira-kira pukul 11.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa diseret sejauh 300 meter ke bawah cerun hutan belukar dari kawasan mangsa dipercayai diterkam pak belang itu.

Menurutnya, operasi mencari mayat mangsa melibatkan seramai 27 anggota keselamatan terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Anggota keselamatan mengambil masa satu jam 15 minit untuk membawa mangsa keluar dari kawasan mangsa dijumpai ke luar hutan.

“Mayat mangsa dibawa keluar dari kebun itu pada pukul 1 tengah hari sebelum tiba di Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat kira-kira pukul 2.50 petang,” ujarnya.

Menurut Choon Foo, penduduk Orang Asli di sekitar Pos Pasik dinasihatkan agar berhati-hati dan sentiasa bergerak secara berkumpulan sekiranya berada di kawasan hutan.

Tambahnya, hasil siasatan di lokasi kejadian, haiwan liar itu dipercayai masih berkeliaran di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI