fbpx

Malaysia teroka pasaran hidrogen hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah (tengah) merasmikan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) dijangka dapat membantu Malaysia meneroka pasaran hidrogren hijau global bernilai sekurang-kurangnya AS$189.19 bilion (RM824 bilion) menjelang 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan HETR sahaja dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

“HETR juga mampu mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 2030,” katanya melalui teks yang dibaca oleh Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di sini, hari ini.

Selain itu Anwar berkata, melalui pelaksanaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Malaysia bersedia menjadi peneraju serantau dalam peralihan tenaga dan industri tenaga boleh diperbaharui.

“Pelaksanaan NETR dengan enam peralihan tenaga dan lima pemboleh dijangka meningkatkan nilai KDNK Malaysia daripada RM25 bilion pada 2023 kepada RM220 bilion dan menjana 310,000 pekerjaan pada 2050.

“Di samping itu, kerajaan juga sedang memperkukuh rangka kerja dasar dalam menangani perubahan iklim seperti pembangunan Rang Undang-undang Perubahan Iklim, pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara, penyediaan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional Yang Ditentukan (NDC), Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LTLEDS) serta penyediaan Pelan Adaptasi Nasional,” jelasnya.

Pada Julai lalu katanya, kerajaan juga mengembalikan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) peruntukan RM1 bilion untuk tempoh sehingga 31 Disember 2025, atau sehingga digunakan sepenuhnya.

“Pengenalan Ekonomi Madani dapat menyusun semula ekonomi untuk menjadikan negara sebagai kuasa ekonomi serantau.

“Ekonomi Madani menggabungkan strategi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan mengukuhkan industri tempatan untuk menjadi lebih inovatif, berdaya saing dan mampu berkembang ke pasaran global, dengan cara yang mampan dan bertanggungjawab,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI