SETIAP gadis pasti mengimpikan pengalaman berjalan-jalan di dalam istana Eropah era ‘medieval’ sambil memakai gaun malam ala puteri bangsawan silam.
Pada zaman moden ini, pasti ramai menyangkakan pengalaman itu hanya wujud dalam filem mitos atau legenda seperti Narnia dan Games of Throne.
Namun, sangkaan itu berubah apabila seorang gadis, Ludovica Sannazzaro Natta baru-baru ini mencuri perhatian dunia apabila berkongsi kehidupannya di dalam istana kurun ke-12 di TikTok. Mendapat liputan pelbagai agensi media antarabangsa termasuk CNN, gadis yang mengumpul jutaan pengikut itu menghuni sebuah istana warisan keluarga di Itali dari era ‘medieval’. Era ‘medieval’ adalah merujuk kepada era pertengahan iaitu peralihan antara hujung era purba (Ancient Period) dengan awal era moden (Early Modern Age) iaitu antara kurun ke-5 hingga 15.
Sannazzaro Natta yang berketurunan bangsawan atau aristokrat membesar di dalam istana itu yang berusia hampir 900 tahun. Terletak di Alessandria, Itali, istana itu merupakan bangunan bersejarah warisan keluarganya sejak tahun 1163.
Gadis berusia 22 tahun itu mengakui tidak pernah berasa janggal apabila berpindah ke istana tersebut pada tahun 2006. Istana itu sebelum ini hanya dijadikan rumah persinggahan keluarga.
“Sewaktu saya berpindah ke sini pada usia lima tahun, saya tidak ada rasa sebarang keunikan atau keanehan tentang istana ini.
“Saya anggap ini rumah kami sama seperti rumah-rumah lain. Sebelum tinggal secara tetap, kami sering habiskan musim panas di sini,” katanya.

Berdasarkan sejarah, empat orang kesateria daripada keluarga Sannazzaro telah mendapat perkenan daripada Maharaja Rom iaitu Frederick Barbarossa I pada 4 Disember 1163 untuk membina istana mereka sendiri.
Ini bermaksud istana itu telah dibina sebelum munculnya monarki Itali yang dibentuk pada 17 Mac 1861.
Sehingga kini, istana yang diberi nama Castello Sannazzaro (Istana Sannazzaro) itu diwarisi secara turun- temurun selama 28 generasi.
Keluarga Sannazzaro memegang gelaran Count and Countess yang masih digunakan dalam kehidupan sosial.Namun, gelaran itu tidak lagi memiliki fungsi rasmi dalam politik Itali sejak sistem politik negara tersebut berstatus republik pada tahun 1946.
Berkeluasan 107,639 kaki persegi, dengan taman seluas 269,097 kaki persegi, 45 bilik, 15 bilik tidur, mahligai indah itu turut menyimpan arkib sejarah sejak penubuhannya.
Antara ruang yang ada di dalam istana termasuk ruang rehat, perpustakaan, ruang tari, ruang makan, gereja kecil, tasik di sekeliling istana dan laluan rahsia.
Biarpun luas dan bertingkat, istana tersebut kini hanya didiami oleh tiga orang iaitu gadis itu bersama ibu bapanya, Giuseppe dan Letizia Sannazzaro.
Dia mempunyai seorang abang tetapi difahamkan abangnya tidak tinggal bersama mereka.
Berkongsi zaman kanak-kanaknya, Sannazzaro Natta akui sering menerokai kawasan istana bersama rakan-rakannya sambil memainkan watak kisah dongeng dan mitos.
Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa kehidupannya sangat berbeza dengan orang lain sehinggalah dia dihantar untuk belajar di sekolah asrama.
Ujar Sannazzaro Natta, dia mula mengalami masalah identiti kerana enggan dipandang aneh oleh rakan-rakan sekolahnya.
“Saya rahsiakan hakikat bahawa saya tinggal di istana sebenar buat sekian waktu. Saya tidak mahu pandangan mereka terhadap saya berubah.
“Saya hanya beritahu beberapa rakan setelah kami rapat. Kebanyakan mereka terkejut kerana istana ini ‘sangat purba’,” kongsinya.

Namun, setelah Sannazzaro Natta semakin dewasa, dia menyedari tentang keistimewaan harta peninggalan nenek moyangnya itu. Sannazzaro Natta juga banyak membantu bapanya menggali semula sejarah lampau keluarga mereka.
Antaranya adalah dengan menyaring surat-surat lama serta selidiki salasilah keluarga mereka.
Selain itu, keluarganya turut mengupah penyiasat paranormal untuk mengenal pasti potensi kewujudan makhluk paranormal di istana lama tersebut.
“Saya tidak lagi akan sembunyikan latar belakang saya. Lebih-lebih dengan peninggalan moyang yang unik sebegini.
“Sekiranya mereka mahu berkawan dengan saya, mereka perlu terima saya seadanya,”ujarnya.
Dengan perasaan bangga, satu akaun media sosial The Castle Diary telah dibuka pada sekitar Mac 2021.
Sehingga kini, akaun Instagramnya mencecah 21,000 pengikut, manakala akaun TikTok miliknya memiliki 1.7 juta pengikut.
Bagi urusan media sosial, ibunya sering membantu dalam penyediaan kostum, manakala bapanya turut terlibat dalam proses pembikinan video.
Tambah Sannazzaro Natta, ramai dalam kalangan netizen menganggap keluarganya memiliki banyak pembantu seperti zaman dahulu.
“Sedangkan kami mempunyai seorang pembantu rumah dan seorang pekebun. Selebihnya, kami lakukan kerja pembersihan sendiri.
“Untuk satu menara, kami memerlukan satu hari untuk bersihkannya, manakala masa tiga hari diperlukan untuk potong rumput pada keseluruhan laman,” jelasnya.
Kongsi pelajar jurusan teater muzikal di Amerika Syarikat itu, enam daripada 18 bilik tidur istana berkenaan bahkan dibuka kepada pengunjung awam.
Keluarganya kini mengusahakan pakej ‘breakfast and bed’ untuk berkongsi pengalaman hidup istana buat sesiapa yang menginginkannya.
Istana tersebut juga tidak sukar untuk dikunjungi orang ramai kerana terletak kira-kira sejam dari Milan, Turin dan Genoa, serta 650 meter dari stesen kereta api Giarole.
Bakal mewarisi istana itu daripada bapanya satu hari nanti, Sannazzaro Natta merancang untuk menganjurkan majlis tari menari dan majlis berkaitan sejarah di istana itu.
“Ramai sangka kehidupan kami telah ditelan zaman dan hanya wujud dalam filem.
“Dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti di sini, saya boleh pastikan istana ini terus dapat dikekalkan sehingga generasi seterusnya,” katanya.














