fbpx

K2

Sampai mesej perpaduan melalui lukisan mural

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MURAL ‘Piza Rakyat’ membawa mesej mengenai perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

NEGARA kita baru sahaja meraikan sambutan Hari Malaysia bagi mengingati tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sepanjang 60 tahun pembentukan Malaysia, rakyat negara ini hidup harmoni dengan semangat perpaduan dan masing-masing menjunjung prinsip Rukun Negara.

Dalam usaha mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini, artis seni tempatan, Chern Loo yang juga dikenali sebagai Cloakwork telah bekerjasama dengan Domino’s Pizza menghasilkan satu lukisan mural dinamakan sebagai ‘Piza Rakyat’.

Mural yang terletak berdekatan Pasar Seni, Kuala Lumpur itu telah menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan.

Cloakwork berkata, dia gembira kerana diberi peluang untuk melukis satu mural yang melambangkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Menurutnya, melalui lukisan mural itu, dia ingin menyampaikan mesej bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia sangat utuh.

“Kita harus bersama meraikan semangat ini dan semua rakyat Malaysia perlu menyemai rasa cinta dalam diri masing-masing.

“Kita perlu mengingatkan antara satu sama lain bahawa jika kita bersama, sesuatu yang besar boleh dicapai buat negara,” katanya.

Berbicara tentang karya yang dihasilkannya itu, Cloakwork menjelaskan, mural dilukisnya itu bersaiz dua tingkat bangunan kedai.

Katanya, ketika proses penghasilannya, dia berdepan dengan beberapa cabaran.

Ujarnya, cabaran utama adalah kerana saiznya yang besar dan dia mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan lukisan itu.

“Ketika saya menyiapkan lukisan mural ini, keadaan cuaca sangat baik. Saya mengambil masa sebulan dari proses merancang hingga mewarna.

“Cabaran lain adalah untuk memastikan mural dilukis itu sama seperti mesej yang hendak disampaikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Domino’s Pizza di Malaysia, Singapura dan Kemboja, Linda Hassan berkata, mereka dengan bangganya mempersembahkan sebuah penghormatan yang mencerminkan semangat Malaysia menerusi satu lukisan mural.

CLOAKWORK bergambar dengan berlatarbelakangkan mural ‘Piza Rakyat’ yang dihasilkannya di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Menurutnya, rakyat Malaysia dikenali dengan semangat perpaduan yang teguh dan ini terkandung dalam peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

“Diinspirasi oleh peribahasa ini, mural ‘Piza Rakyat’ adalah satu penghormatan kepada perpaduan, kepelbagaian dan ketahanan yang kukuh dalam diri rakyat Malaysia.

“Melalui peribahasa ini, kita ingin menyampaikan mesej bahawa jika kita semua rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan bangsa bersatu semuanya akan menjadi mudah.

“Mural ini menampilkan empat sekawan yang melambangkan karakter masyarakat Melayu, Cina dan India yang hidup harmoni sejak sekian lama,” terangnya.

Tambahnya, mural itu juga menunjukkan kepelbagaian budaya dan intipati rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Watak-watak dalam lukisan ini juga melambangkan nilai dan pengalaman bersama yang mengikat kita sebagai sebuah negara,” katanya.

Dalam pada itu, lukisan mural ‘Piza Rakyat’ dipersembahkan kepada rakyat Malaysia sebagai representasi visual kasih sayang kepada negara.

Linda menjelaskan, kolaborasi dengan pelukis tempatan seperti Cloakwork bukan sahaja memperkayakan landskap seni, malah melambangkan komitmen mereka untuk menyokong bakat dan kreativiti tempatan.

“Perkongsian ini mempamerkan dedikasi kami untuk mempromosikan seni Malaysia dan memperindahkan lagi Kuala Lumpur.

“Seperti diketahui, ibu kota kaya dengan sejarah, kepelbagaian budaya dan warisan. Ia merupakan imej perpaduan yang sangat jelas.

“Lokasi mural ini dipilih khas untuk meraikan perpaduan budaya di negara ini. Hal ini kerana Pasar Seni terletak berdekatan dengan Stadium

Merdeka dan Dataran Merdeka yang cukup ikonik.

“Ini adalah satu kawasan yang penuh dengan budaya dan memberi peluang kepada kami untuk mempamerkan penyatuan warisan Malaysia.

“Penyatuan ini telah berkembang seiring dengan masa, sekali gus melambangkan kepelbagaian warna dan masyarakat Malaysia,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI