fbpx

Projek bina dua Empangan Sabo di Baling dalam proses tender

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu jambatan di Sungai Kupang yang musnah akibat banjir kilat di Baling pada Rabu lalu. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Projek pembinaan dua Empangan Sabo yang bernilai RM20 juta dekat Kampung Iboi di Kupang, Baling dekat sini kini dalam proses tender oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, empangan tersebut berfungsi untuk memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas.

“Ia juga bertujuan untuk menyekat bahan-bahan hanyut bersama aliran air deras seperti kayu dan batu yang boleh memusnahkan penempatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, proses mengeluarkan tender Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dijangka disempurnakan pada Februari tahun depan.

“RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta kini dalam proses penilaian tender manakala RTB 3 pula dalam proses penyediaan kertas kerja untuk diangkat dalam permohonan bencana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 13 titi dan jambatan yang terjejas akan dibaiki atau dibina semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Pejabat Daerah Baling membabitkan jambatan baharu di Kampung Padang Cina dengan kos RM3 juta.

“Selain itu, sebanyak sembilan titi konkrit akan dibina atau dibaiki di Kampung Teluk Durian, Kampung Lanai, Kampung Kenanga, Kampung Menora, Kampung Bok Bak, Lata Celak, Kampung Charok Kangar, Kampung Bukit Kuala Kuang dan Kampung Bukit Legong.

“Kesemua projek itu adalah di bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) negeri Kedah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI