fbpx
PENDUDUK mengusung jenazah seorang wanita yang mati dibunuh suami sendiri untuk dikebumikan Tanah Perkuburan Haji Talib, Kampung Paya Tengah, Perlis semalam. Kanan: Anggota polis membawa seorang bekas tentera ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes kematian isterinya di Arau.

Suspek bunuh isteri tidak turun kereta ketika hantar anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pengasuh kepada dua anak jururawat yang mati ditikam suami sendiri di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis kelmarin, Hasnah Yahya, 63, berkata, suspek tidak turun dari kereta seperti kebiasaan ketika menghantar dua anaknya pada pukul 7 pagi.

“Selalunya depa (mereka) akan turun dan melambai tangan sebelum pergi kerja tetapi semalam (kelmarin) langsung tak turun.

“Mangsa juga tak hubungi saya sebelum anak mereka dihantar seperti kebiasaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Gajah di sini semalam.

Menurut Hasnah, dia hairan kerana dia sudah memaklumkan yang dia mahu bercuti tetapi suspek tetap menghantar dua anaknya itu.

“Selalunya dia akan hubungi saya jika mahu hantar anak tetapi semalam (kelmarin) langsung senyap. Patutlah saya mesej dia pada pukul 8.15 pagi dia tak jawab rupanya dia dah meninggal,” katanya.

Ujar Hasnah, mangsa amat rapat dengan dua anaknya dan sentiasa teruja untuk tunggu ibu mereka datang untuk mengambilnya pada waktu petang.

“Sepanjang perkenalan kami, mereka berdua ini memang baik dan tak sangka kejadian sebegini boleh berlaku,” katanya.

 

HASNAH

Dalam pada itu, dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahu itu masih tidak mengetahui mengenai kejadian itu dan beranggapan wanita tersebut masih belum pulang dari tempat kerja.

Kakak mangsa memberitahu, mereka hanya akan memberitahu hal sebenar sebaik jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai dilakukan di hospital.

Katanya, dua anak mangsa berusia enam dan lapan tahun itu kini dijaga olehnya sejak kejadian itu.

“Anak sulung arwah ada tanya mana mama, mama tak balik kerja lagi ka… dan kami terpaksa be­ritahu pelbagai alasan antaranya belum. Mereka masih beranggapan ibu mereka masih di tempat kerja.

“Saya dan bapa ada melakukan proses pengecaman mayat dan kami sekeluarga masih terkejut dengan tragedi tersebut, namun reda dengan takdir dan sudah memaafkan suspek yang dianggap seperti keluarga sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang bekas tentera, 38, diberkas kerana membunuh isterinya, 31, de­ngan menikam kiri dada mangsa menggunakan pisau di rumah mereka di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis.

Menurut wanita itu, berat rasanya untuk meluahkan apa yang terjadi dan merasa ‘sakit’ dengan pembunuhan tersebut dan berharap suspek akan dibicara dengan adil di mahkamah kelak.

Tambahnya, kali terakhir mereka bertemu dengan mangsa ialah pada Ahad lalu ketika dia datang makan tengah hari bersama keluarganya.

“Tiada apa perubahan dan dia kelihatan ceria se­perti selalu. Arwah tidak pernah memberitahu apa-apa tentang masalah keluarganya sejak bernikah 10 tahun lalu,” katanya.

Ujar wanita itu, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu pada pukul 1 tengah hari kelmarin dan bergegas ke lokasi tetapi rumah itu telah dikawal polis.

“Perbincangan mengenai penjagaan kedua-dua anak pasangan itu akan dibuat selepas segala urusan selesai,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Kampung Paya Tengah dekat Beseri, Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN