“LEPAS dua jam beratur dapat juga nasi kandar!” Itulah jeritan seorang pemuda yang memecah suasana dalam keramaian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota baru-baru ini.
Pemuda tersebut, kemudian berjalan ke satu sudut untuk bertemu beberapa orang rakannya yang lain sambil di tangannya menggenggam erat bungkusan-bungkusan mengandungi nasi kandar.
Begitulah situasi yang dapat dilihat pada Festival Nasi Kandar 2023 yang berlangsung di pekarangan Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ramai peminat nasi kandar yang sanggup beratur lama semata-mata untuk mendapatkan nasi kandar dari restoran-restoran popular yang dijual sempena festival tersebut.
Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah pula berkata, dia juga terpaksa beratur lebih dua jam untuk mendapatkan nasi kandar.
“Saya mengetahui bahawa Nasi Kandar Bawah Pokok dari Pulau Pinang turut serta dalam festival ini.
“Oleh itu, saya sanggup datang ke festival ini dan beratur lama semata-mata untuk mendapatkan nasi kandar ini,” katanya yang berusia pertengahan 30-an kepada K2.
Tambahnya, sebelum ini dia pernah mencuba nasi kandar itu ketika bercuti di Pulau Pinang dan rasanya memang begitu kena dengan tekaknya.
Oleh itu, meskipun terpaksa beratur panjang di bawah sinaran mentari, Sarah tidak kisah asalkan dapat menikmati nasi kandar tersebut.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Shahruzzaman Abdul Manan, 22, dan Norhanizah Hamdan, 42, bersama tiga anak mereka menempuh perjalanan dari Rawang, Selangor semata-mata untuk hadir ke festival tersebut.
Menurut Norhanizah, mereka sekeluarga pada mulanya ingin menikmati Nasi Kandar Bawah Pokok kerana tahu bahawa nasi kandar itu hanya boleh dinikmati di Pulau Pinang, namun mereka perlu beratur terlalu panjang.
“Jadi, kami sekeluarga memilih untuk mendapatkan nasi kandar pilihan kedua iaitu Hameediyah.
“Itupun anak saya telah beratur lebih satu jam untuk mendapatkannya, tapi masih belum berhasil,” terangnya semasa menunggu anaknya.

Jelas Norhanizah, keluarganya memang merupakan peminat tegar nasi kandar. Oleh itu, mereka tidak melepaskan peluang untuk hadir ke festival tersebut.
Ceritanya, setiap tahun mereka sekeluarga akan mengadakan ‘nasi kandar trip’ dan pergi ke Pulau Pinang semata-mata ingin menikmati juadah tersebut.
Malah, mereka boleh menikmati nasi kandar dari pagi sehinggalah malam.
Sebagai peminat nasi kandar Norhanizah menjelaskan, setiap nasi kandar memiliki ‘signatur’ tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.
“Setiap kedai memiliki keunikan nasi kandarnya yang tersendiri,” terangnya sambil kemeriahan semakin terasa apabila orang ramai kian berduyun tiba.
Nasi Kandar merupakan sajian popular di Malaysia khususnya di utara Malaysia. Ia satu hidangan nasi kukus yang disajikan dengan kepelbagaian kari dan hidangan sampingan.
Sajian ini boleh dikatakan telah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.
Pengasas Nasi Kandar Hunters, Pandai Othman yang juga bertindak sebagai penganjur bersama Festival Nasi Kandar 2023 berkata, festival tersebut adalah pertama kali diadakan dengan kerjasama FriedChillies dan Nasik Kandaq Transporters.
Menurut Pandai, mereka menjemput sebanyak 10 kedai nasi kandar yang dikatakan ‘legend’ di Malaysia.
“Pemilik-pemilik nasi kandar yang terlibat dalam festival selama dua hari ini ada dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.
“Antara jenama nasi kandar yang kami bawa untuk festival ini termasuk Nasi Kandar Bawah Pokok atau Nasi Kandar Jamal Mohamed, Yusuf Restaurant dan Hameediyah dari Pulau Pinang.
“Selain itu, kita ada juga Restoran Kudu bin Abdul, Sadam Nasi Kandar dari Kuala Lumpur serta Nasi Kandaq Talam dari Johor Bahru,” jelasnya.
Pandai berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan seawal pukul 9.30 pagi peminat nasi kandar sudah beratur.
Bukan itu sahaja, mereka juga sanggup untuk beratur dalam cuaca panas untuk mendapatkan nasi kandar pilihan masing-masing.
“Melalui festival sebegini juga kami memberi peluang kepada penduduk di sekitar Lembah Klang untuk mencuba nasi kandar dari luar.
Mereka boleh mencuba nasi kandar dari Pulau Pinang dan Johor tanpa perlu ke sana,” terangnya.
Pandai memberitahu, melihat sambutan di luar jangkaan yang diterima, mereka bercadang untuk menganjurkan lagi festival ini pada masa hadapan dengan menjemput lebih ramai pemilik jenama nasi kandar.
Dalam pada itu, pemilik nasi kandar Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkor berkata, dia gembira melihat festival tersebut mendapat sambutan yang begitu baik.
Menurutnya, melalui festival itu memberi peluang kepada ramai orang untuk mencuba pelbagai jenis nasi kandar.
“Hari pertama festival kami telah berjaya menjual lebih 600 bungkus nasi kandar. Melihat sambutan yang diterima amat baik, mungkin pada hari kedua kami boleh menjual sehingga 1,000 bungkus nasi kandar.
“Nasi kandar ini telah menjadi satu hidangan utama rakyat Malaysia, maka tidak hairanlah ramai yang sanggup beratur panjang untuk menikmati juadah ini,” terangnya pada hari pertama festival.
Kongsi Ahamed Seeni, peranan ‘joki’ atau tukang letak kuah nasi kandar itu sendiri amat penting dalam menghasilkan














