BULAN lalu nama penyanyi Nabila RazalI menjadi sebutan susulan beberapa spekulasi hubungan cintanya.
Bermula dengan isu digosipkan intim dengan pengurus sendiri, sehinggalah dakwaan telah mengikat pertunangan dengan ahli perniagaan, semua itu memanaskan suhu nama penyanyi berusia 31 tahun itu di carta sensasi.
Biarpun semuanya seperti sudah bersuluh, apatah lagi gambar majlis pertunangan dengan lelaki bernama Nik Iruwan Nik Izani yang berlangsung pada 25 Ogos lalu sudah tersebar, sehingga kini pelantun lagu Pematah Hati itu masih membiarkan khalayak berteka-teki tentang status dirinya.
Tebaklah dengan pelbagai soalan pun, Nabila masih enggan memberikan waima satu pengesahan, namun dalam masih memahami kecenderungan ramai ingin mengikuti fasa-fasa penting dalam hidupnya.
“Sebagai figura umum, saya tidak boleh lari daripada soalan-soalan dan perhatian khalayak.
“Orang mahu tahu gerak-geri saya yang sudah terbiasa berkongsi dalam media sosial.

“Bagi saya, setiap orang perlu ada sempadan. Tahu apa yang perlu diambil tahu dan harus menunggu kenyataan daripada seseorang,” katanya membuka bicara.
Cuba menghalakan perbualan sehingga bertemu pangkal kisah pertunangan, penyanyi yang kerap terjebak sensasi mutu vokal itu tetap dengan pendirian.
Menafikan tidak, mengiakan belum, Nabila bagaimanapun seakan-akan memberikan satu bayangan.
“Saya tidak mahu komen lanjut mengenai isu sorok pertunangan. Sekiranya tiada apa-apa kenyataan dibuat, memang saya belum bersedia untuk berkongsi.
“Saya harap orang ramai lebih fokus terhadap nyanyian saya atau pun lagu baharu yang dilancarkan,” luahnya.
Dalam pada seronok berbual, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu memberikan gambaran bahawa hatinya sudah terikat bersama seseorang tanpa menyebutnya secara terang-terangan.
“Merahsiakan apa-apa kepada umum adalah keputusan kami bersama (Nabila dan tunang).

“Saya harap topik ini sampai sini sahaja. Kalau saya kongsikan dalam media sosial, memang untuk dijadikan tontonan umum.
“Sekiranya tiada apa-apa perkongsian, saya masih belum bersedia berkongsikan hal tersebut (pertunangan),” tegasnya lagi.
Tidak mahu berlama-lama dalam topik sama memandangkan Nabila masih berkeras menyimpan rapi kisah hidupnya, perbualan bertukar topik karier.
Status tunang yang diharapkan, namun penyanyi jolokan ratu gimik itu mengesahkan statusnya yang kini tidak lagi bersama pengurus lama iaitu Mohd. Asrul Talib atau lebih dikenali sebagai Ash.
“Saya sudah lama berada di bawah pengurusan sendiri. Dari segi pengurusan memang tiada masalah.
“Perkara ini bukan baru bagi saya. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi tidak menjejaskan karier saya.
“Tiada apa yang serius pun. Cuma akan ada pertukaran untuk sesetengah perkara sahaja,” tuturnya lembut.

Pencapaian terbesar
Tahun ini merupakan tahun kesepuluh Nabila bergiat aktif dalam dunia seni dan sehingga kini, penyanyi finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 masih mempunyai sasaran yang belum terpenuhi.
“Mampu untuk bangunkan syarikat sendiri, Nabila Razali Entertainment (NRE), hasilkan produk dan mempunyai hak atas produk sendiri pun sudah menjadi pencapaian terbesar sepanjang karier saya.
“Sebenarnya saya teringin juga ada album, selama ini ada produk single sahaja,” ulasnya.
Selain ingin menghasilkan album, pelakon Kerana Cinta Itu Ada turut menyimpan hasrat untuk membina karier di negara luar.
“Impian lain adalah untuk kembangkan sayap ke luar negara.
“Cumanya, saya jenis akan fokus kepada satu perkara untuk satu masa sahaja. Sekarang ingin fokus kepada single bersama Insomniacks, Cerita Kita.
“Saya juga pernah berduet dengan Keisya Levronka dan itu pun satu langkah untuk saya membuka jalan memperkenalkan diri ke negara luar,” katanya.

Minta lagu
Sebut mengenai Cerita Kita, single bergenre balada pop tersebut adalah buah tangan baharu Nabila bersama kumpulan Insomniacks.
“Ini merupakan kolaborasi pertama saya bersama sebuah kumpulan. Sebelum ini hanya berduet dengan artis solo lain.
“Kolaborasi bersama Insomniack bermula apabila saya minta lagu daripada mereka.
“Akhirnya, mereka sendiri yang mencadangkan untuk kami bekerjasama dalam pembikinan lagu Cerita Kita,” kongsinya.
Sejak dilancarkan pada 22 September lalu, single Cerita Kita mendapat perhatian ramai sehingga mampu menembusi carta dalam YouTube dan Spotify.
“Setakat ini memang positif. Ramai juga tidak sabar untuk melihat persembahan kami pada malam Cerita Kita (semalam).
“Meskipun baru dilancarkan, kami sudah trending di kedudukan 22 dalam YouTube dan ini satu pencapaian besar.
“Malah, Cerita Kita juga berada di kedudukan pertama Carta Pop Terkini di Spotify,” tutupnya.















