MENJADI pakar rujuk berhubung kualiti kayu-kayan, Roslan Mamat, 65, merupakan antara individu yang dapat menerangkan pelbagai aspek teknikal terutamanya dalam pembuatan tasbih.
Digelar Ayahmin, warga emas yang berasal dari Kampung Dusun Tok Deh, Melawi, Bachok, Kelantan tersebut amat teliti semasa memilih teras-teras kayu yang boleh digunakan untuk membuat kalung menghitung zikir itu meliputi kayu pokok kelor, kokka, pancar delima, nagasari, pasung hantu, bidara, raja kayu, kenaung, celagi, kemuning hitam, nibung tunggal, johar dan lain-lain.
Bagi Roslan, tasbih bukan sahaja peralatan yang digunakan selepas solat, sebaliknya biji tasbih teras kayu itu juga mempunyai ‘khasiat tersendiri’.
Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dengan penghasilan biji tasbih sejak 27 tahun lalu.
“Ketika itu, saya mencari pelbagai jenis teras kayu di hutan untuk dijadikan biji tasbih. Kebiasaannya digunakan untuk kegunaan sendiri dan bagi mengubati penyakit misteri yang saya alami ketika berusia 38 tahun.
“Meskipun sudah merujuk pakar perubatan, penyakit saya gagal dikesan apatah lagi diubati. Saya mengambil inisiatif sendiri dengan membuat kajian untuk mengamalkan perubatan alternatif.
“Saya menghasilkan penawar sendiri dengan menggunakan teras kayu untuk menghasilkan biji tasbih dan digunakan untuk berzikir setiap hari,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.
Roslan memberitahu, dengan izin Allah SWT, biji tasbih daripada teras kayu itu berjaya menyembuhkannya daripada penyakit misteri dan menjadi sebahagian daripada hidupnya ketika ini.
Menurutnya, penyakit misteri yang dialaminya dahulu sembuh sepenuhnya dengan penggunaan daun herba, pokok hutan dan teras kayu dengan penghasilan biji tasbih.

Jelasnya, dia pada awalnya menggunakan kaedah manual untuk menghasilkan biji tasbih dengan mendapatkan belahan teras kayu yang dipotong panjang kemudian dikerat menggunakan kacip (cekati) bagi menghasilkan bentuk kayu empat persegi.
“Ketika itu, saya mengambil juring (bucu) kayu dalam bentuk empat segi sebelum menggunakan pisau yang direka khas untuk menghasilkan bentuk bulat dan ditebuk lubangnya.
“Semua itu dilakukan dengan tangan menggunakan alat-alat ciptaan sendiri kerana pada masa itu tiada mesin seperti hari ini.
“Kerja ukiran tangan dan seni halus ketika itu memerlukan ketekunan,” ujar Roslan.
Menurutnya, dia sudah menjelajah ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia untuk mencari teras kayu, manakala kayu dari Sabah dan Sarawak pula dibeli secara tempahan yang dihantar oleh pengusaha di kawasan terbabit.
Katanya, teras kayu memiliki auranya yang tersendiri apabila ia ada unsur positif dan negatif dalam perubatan tradisional.
“Tiada falsafah yang boleh dikaitkan dengan ilmu mengenai kayu-kayan di alam Melayu terutamanya dalam penghasilan tasbih. Kita tidak seperti perubatan di India yang terkenal dengan Ayurveda, manakala China pula Ying dan Yang,” katanya yang turut menyertai Ekspo Hari Peladang dan Penternakan Kelantan di Bachok baru-baru ini.
Jelasnya, usaha mencari teras kayu juga bukanlah suatu kerja yang mudah kerana perlu meredah hutan, menjejaki pulau dan meneliti keaslian pokok.
Kongsinya, ada ketika dia perlu meminta izin dengan ‘penunggu’ jika ada makhluk lain yang menumpang di kawasan pokok selain memohon petunjuk Allah SWT untuk memperoleh kayu yang berkualiti bagi perubatan tradisional.
Menurutnya, sepanjang mencari teras kayu, dia pernah diuji dengan pelbagai ujian termasuk gangguan makhluk halus dan lembaga hitam yang tidak pernah diduganya.
“Kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila terserempak dengan lembaga hitam besar dan tinggi yang tiba-tiba keluar dari sebatang pokok kayu tahi di hutan Selising di Pasir Puteh.
“Sememangnya penduduk kampung berdekatan tidak berani menghampiri pokok berkenaan yang mengeluarkan bau seperti najis manusia.
“Syukur saya berjaya menebang dan mengambil kayu berkenaan setelah memberi salam, membaca doa dan selawat. Kelibat lembaga hitam yang mungkin penunggu pokok itu tidak lagi kelihatan.
“Banyak lagi peristiwa aneh yang pernah dialami termasuk mendengar bunyi yang aneh dan menyeramkan. Saya juga perlu melalui kawasan yang dikatakan menjadi tempat tinggal jin dan bunian untuk menebang pokok,” katanya.

Menurut Ayahmin, perkara utama semasa berada di hutan adalah iktikad atau keyakinan yang betul serta bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Lebih 100 jenis teras kayu telah dipilih untuk diuji bagi dipastikan memiliki kekuatan zat dan memiliki daya tarikan terhadap unsur-unsur badan manusia bagi penghasilan biji tasbih.
“Tasbih bukan sahaja berfungsi sebagai alatan penghitung zikir, malah boleh digunakan sebagai pendinding gangguan makhluk halus, sihir dan santau,” katanya.
Sementara itu, seorang peminat teras kayu, Razi Othman, 63, keunikan tasbih teras kayu tempatan seharusnya mendapat perhatian pihak tertentu untuk dipromosikan dan dimartabatkan sebagai produk pelancongan yang bernilai tinggi.
Menurutnya, tidak ramai yang mengusahakan produk tersebut yang mempunyai nilai estetik dari sudut perubatan tradisional Melayu.
“Golongan cendekiawan, ahli akademik dan penyelidik perlu membuat kajian mengenai teras kayu yang dijadikan biji tasbih.
“Mengambil contoh biji tasbih yang dihasilkan Ayahmin, produknya dibuat secara rapi dan boleh dijadikan penawar tertentu untuk pendinding gangguan makhluk halus, sihir dan santau.
“Kajian seperti ini perlu dijalankan. Semua perkara berlaku atas izin Allah SWT, namun teras kayu yang ada di hutan itu pastinya ada manfaat yang boleh dikaji secara mendalam,” katanya.
Razi memberitahu, keupayaan Roslan atau Ayahmin dalam mengenali pelbagai jenis pokok berharga tinggi, mampu berkomunikasi dengan pokok, mengetahui kegunaan teras kayu secara alamiah dan saintifik tanpa pendidikan di menara gading juga perlu dibuat kajian.
Bekas Penggawa Daerah Jelawat di Bachok itu berkata, dia yang tertarik dengan kebolehan dan kepakaran Ayahmin dalam dunia teras kayu.
“Dia (Ayahmin) tidak kedekut berkongsi maklumat. Setiap pertanyaan pasti ada jawapannya.
“Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan dan kisah-kisah pelik yang dialaminya. Warga akademik dari universiti terdekat perlu tampil melakukan penyelidikan ilmiah dan dokumentasi mengenai Ayahmin,” katanya.
Tambahnya, pengusaha tasbih itu juga berjaya mencipta alat mengesan aura magnetik keserasian teras kayu yang sesuai digunakan oleh pemakainya sekali gus memberi keyakinan kepada pembeli untuk mendapatkan tasbih yang diusahakan.














