fbpx
RAMAI ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja yang besar sebagai persiapan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak. – GAMBAR HIASAN

Buka sekolah, puasa serentak, ibu bapa mula simpan RM100 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Peningkatan kos sara hidup selain cabaran ekonomi yang tidak menentu menyebabkan ada ibu bapa mula menabung dari awal sebagai persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu musim depan yang serentak dengan kehadiran bulan Ramadan.

Malah, rata-rata ibu bapa me­ngakui mereka perlu berbelanja besar bagi memastikan keper­luan persekolahan anak-anak dan perbelanjaan bagi menyambut Ramadan adalah mencukupi.

Berdasarkan takwim persekolahan sesi 2024-2025, sesi baharu akan bermula pada perte­ngahan Mac 2024 yang jatuh pada minggu pertama Ramadan.

Seorang penjawat awam, Nur Juliana Mutalib, 42, berkata, dia mula merancang kewangan lebih awal dengan mula menabung minimum RM100 sebulan sejak Jun lalu.

Menurut ibu kepada lima orang anak itu, kebimbangan mula te­rasa apabila dia bukan sahaja bakal mengharungi dua perbelanjaan besar pada tahun depan, malah kos harian ketika ini juga perlu diambil kira.

“Antara persiapan raya dan sekolah, saya lebih memilih hal membabitkan persekolahan anak-anak. Segala kelengkapan dan pakaian sekolah perlu diuta­makan dan jika ada baki, barulah fikir tentang persiapan raya,” katanya di sini semalam.

Bagi kakitangan swasta, Imran Hilmy Tawfik Hilmy, 45, pula, dia turut melahirkan kebimbangan dengan kos perbelanjaan bagi persiapan persekolahan, puasa dan raya yang dijangka lebih ­tinggi tahun depan.

“Saya akan pastikan duit bonus yang diterima hujung tahun ini disimpan dan digunakan untuk perbelanjaan sekolah dan puasa.

“Memang kena siap sedia sebelum berdepan dengan getir hidup tahun 2024,” katanya.

Seorang lagi suri rumah yang juga ibu kepada empat cahaya mata, Aina Shamsul, 39, berkata, dia berharap agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan keputusan dengan membenarkan para pelajar untuk terus memakai pakaian sukan ke sekolah.

“Ini bagi tujuan meringankan kos perbelanjaan ibu bapa terutama yang berpendapatan kurang RM1,800 sebulan dan mempunyai ramai anak.

“Sekurang-kurangnya dengan cara ini kami dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian di saat kenaikan harga barangan di pasaran ketika ini,” jelasnya.

Di Petaling Jaya, seorang suri rumah, Norizah Mohd. Sabu, 51, mengakui dia dan suami terpaksa merancang perbelanjaan bagi memastikan kewangan keluarga tidak terjejas menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun depan.

“Barang dapur sekarang ma­kin mahal, setiap bulan boleh dikatakan akan bertambah sekitar RM30 hingga RM50 walaupun saya beli barang yang sama.

“Untuk belanja sekolah pula, seluar dan kasut sahaja mence­cah ratusan ringgit seorang, belum lagi ambil kira belanja beli beg sekolah, buku dan alat tulis.

“Apatah lagi ada anak saya masih belajar di universiti dan sekolah menengah. Lebih RM2,000 sekali belanja untuk belajar anak-anak, belum belanja keperluan lain,” katanya.

Tambahnya, perancangan untuk bercuti hujung tahun ini juga terpaksa dilupakan, kerana mahu membuat tabungan untuk membayar yuran sekolah dan belanja menyambut Ramadan.

Pekerja swasta Nizam Omari, 49, berkata, dia lebih mengutama­kan perbelanjaan sekolah berbanding keperluan raya.

“Keperluan sekolah yang saya utamakan itupun berkaitan yuran buku, yuran sekolah dan selepas itu barulah diguna untuk beli pakaian serta kasut sekolah jika ada wang lebih,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN