fbpx

Bekalan air di P. Pinang terjejas ekoran air Sungai Muda keruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Beberapa kawasan di Pulau Pinang berdepan gangguan bekalan air hari ini susulan kadar kekeruhan air yang tinggi berlaku di Sungai Muda disebabkan banjir di daerah Baling, Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut maklumat daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada pukul 3 pagi tadi kadar kekeruhan air masih dapat dikawal namun pada pukul 5 pagi tadi kadar kekeruhan air Sungai Muda telah naik dengan mendadak.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua tidak dapat merawat air daripada Sungai Muda kerana loji berkenaan berisiko rosak sekiranya menerima air berkenaan untuk dirawat.

“Ini satu ulangan apa berlaku sebelum ini ekoran banjir di hulu maka air di Sungai Muda telah mencapai satu tahap kekeruhan yang amat tinggi.

“Jadi sudah pun diumumkan oleh PBAPP bahawa kapasiti rawatan di LRA Sungai Dua cuma tinggal 30 peratus dan dijangka berlaku gangguan air kepada pengguna hari ini di banyak kawasan di Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri majlis perkahwinan beramai-ramai sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara 2023 di Dewan Perhimpunan Cina, di sini, hari ini.

Menerusi notis waspada yang dikeluarkan di Facebook PBAPP pada pukul 4 pagi tadi, kualiti air mentah di muka sauk Lahar Tiang melebihi 1,500 NTU dan pengeluaran air di LRA Sungai Dua berada pada tahap 30 peratus.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya tekanan air rendah di George Town, tiada air di kawasan Selatan Bukit Dumbar hingga Balik Pulau, tekanan rendah di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah serta tiada air di Seberang Perai Selatan.

Beritahu Kon Yeow, sejak semalam air daripada Empangan Mengkuang telah dilepaskan tetapi kuantiti air yang boleh dilepaskan sekadar 300 juta liter sehari (MLD) sahaja dan beliau meminta pengguna bersedia untuk berdepan dengan gangguan air di luar jangka. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI