fbpx

Malaysia kekal kedudukan ke-36 Indeks Inovasi Global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Malaysia kekal menduduki tangga ke-36 daripada 132 buah negara berdasarkan Laporan Indeks Inovasi Global (GII) Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland.

Bagaimanapun, skor keseluruhan yang dicapai negara meningkat kepada 40.9 berbanding skor 38.7 pada tahun lalu.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia turut menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah berdasarkan Laporan GII 2023 itu dengan kenaikan satu tangga berbanding tahun lalu.

“Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

“Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi dua sub-indikator iaitu iaitu high-tech exports dan Creative goods exports.

“Negara juga melonjak ke kedudukan pertama bagi sub-indikator graduates in science and engineering,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MOSTI berkata, secara keseluruhannya, Malaysia menunjukkan peningkatan bagi lima daripada tujuh tonggak berbanding tahun 2022 iaitu Institusi (29 berbanding 34), modal insan dan penyelidikan (32 berbanding 38), kecanggihan pasaran (18 berbanding 26), kecanggihan perniagaan (36 berbanding 41) dan sumber ilmu dan teknologi (37 berbanding 39).

Jelasnya, peningkatan prestasi Malaysia dalam GII antara lain didorong oleh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII di bawah kementerian ini melalui pendekatan keseluruhan kerajaan melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan.

Bagi memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam GII menjelang tahun 2025, MOSTI akan melaksanakan pelbagai inisiatif sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Antara inisiatif itu adalah membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi mana-mana inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk dihasilkan oleh pelajar sekolah.

“Selain itu, pengubalan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu kesihatan manusia dan hubung kait dengan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim yang turut diukur dalam GII.

“Penyediaan maklumat pasaran ekosistem startup tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti startup yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia,” ujarnya.

MOSTI akan turut mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi yang dianggotai wakil-wakil industri bagi menyokong inisiatif negara dalam pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi yang adaptif.

MOSTI melihat prestasi Malaysia di dalam GII bukanlah sekadar satu alat pengukur, tetapi turut merupakan satu panduan yang memberikan kita gambaran menyeluruh tentang keupayaan inovasi negara.

“Ia memberi tumpuan kepada faktor-faktor penting yang mendorong dan menyokong proses inovasi, termasuklah penyelidikan dan pembangunan, keusahawanan, infrastruktur teknologi dan pelbagai bidang tumpuan yang memerlukan intervensi.

“Semua inisiatif ini adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI