fbpx
Penjara Carandiru di Sao Paolo, Brazil pernah menggemparkan dengan peristiwa 111 banduan dibunuh beramai-ramai oleh pengawal penjara pada tahun 1992.

‘Neraka dunia’ destinasi terakhir pesalah jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI-HARI hidup dalam ketakutan, itu merupakan pengalaman seorang bekas banduan menerusi satu perkongsian blog sosial, Ranker.com tentang pengalaman menakutkan menghuni penjara.

Menggunakan nama samaran, Prison_Throw_Away, individu yang dipenjarakan di sebuah penjara di Amerika Syarikat (AS) itu berkongsi bahawa dia diselubungi ketakutan sejak minggu pertama menjalani hukuman.

Menurutnya, pengalaman tinggal di dalam penjara masih memberikan kesan dalam hidupnya meskipun kini sudah dibebaskan.

“Saya pernah diugut akan dikelar oleh seseorang yang tidak berpuas hati dengan perbuatan saya duduk makan bersama banduan berkulit hitam.

“Keadaan itu menjadikan saya diselubungi kebimbangan dan sentiasa berasa tidak selamat, malah setiap kali tidur, saya akan bersiap siaga dengan peralatan senjata seperti pensil tajam atau pen,” tulisnya dalam blog berkenaan.

Itu cumalah satu perkongsian ringkas yang diceritakan tentang apa yang berlaku di dalam penjara, sedangkan mungkin ada banyak lagi kisah lebih tragis yang ‘tersimpan’ di sebalik tabir besi yang tidak pernah diluahkan sesiapa.

Insiden kekerasan dan kekejaman di dalam penjara sebenarnya bukanlah suatu yang asing, bahkan ia sudah menjadi lumrah di sebahagian penjara di dunia.

Terdapat beberapa buah penjara yang digelar ‘neraka dunia’ bukan hanya kerana kekerasan banduan di dalamnya tetapi juga sistem penjara berkenaan sendiri.

Ada penjara yang mempunyai ruang yang cukup sesak sehingga menyebabkan pergaduhan sesama banduan dan ada pula penjara yang memberi layanan amat tidak berperikemanusiaan kepada penghuninya sehingga dilaporkan banyak kes kematian.

Penjara Carandiru, Brazil misalnya pernah dilaporkan terjadi peristiwa sembelihan banduan beramai-ramai oleh penguasa penjara pada tahun 1992 yang menyebabkan 111 banduan mati.

Penjara yang telah merekodkan keseluruhan 1,300 kes kematian selama beroperasi itu dikenali sebagai salah satu penjara terburuk dalam sejarah moden dengan pencabulan hak terbesar. Penjara itu bagaimanapun telah ditutup pada tahun 2002.

PENJARA Rikers Island di New York, Amerika Syarikat juga terkenal dengan kekejaman terhadap penghuninya.

Di AS, Rikers Island di New York City digelar penjara paling berbahaya di negara itu apabila merekodkan siri 27 kematian sejak awal tahun lalu.

Penjara Mendoza di Argentina pula sungguh menjijikkan apabila tiada kemudahan tandas. Para banduan hanya diberikan plastik atau botol untuk membuang air kecil atau besar dan sisa-sisa kumuhan banduan kadangkala mengalir ke kawasan koridor penjara.

Pun begitu, apabila berbicara mengenai penjara yang paling dahsyat yang masih beroperasi ketika ini, kebanyakan pihak meletakkan penjara di Korea Utara yang dikenali sebagai Hoeryong Concentration Camp atau Camp 22 sebagai yang paling kejam.

Tidak ramai yang tahu apa yang berlaku di sebalik tembok penjara itu sehinggalah seorang bekas pengawal keselamatan, Kwon Hyok berjaya meloloskan diri ke China daripada cengkaman pemerintah negara itu pada akhir tahun 1990-an.

Kongsinya, dia menyifatkan banyak tindakan biadab yang dilakukan terhadap 50,000 tahanan politik sejak penjara itu dibuka pada 1965.

Hyok menjelaskan bagaimana pengawal kem diarahkan untuk menganggap banduan sebagai hamba dan tidak menganggap mereka sebagai manusia.

“Pengawal di penjara itu dibenarkan membunuh mana-mana banduan pada bila-bila masa. Saya sendiri pernah diminta memerintahkan hukuman mati terhadap 31 orang sebagai hukuman bagi percubaan banduan melarikan diri,” kongsinya.

Tambahnya, kehidupan seharian banduan dalam penjara itu boleh disifatkan seperti buruh paksa yang berdepan risiko bahaya bekerja di lombong arang batu.

Tanpa sebarang langkah keselamatan, terdapat banduan yang mati dan mayat mereka dibakar bersama arang batu.

Makanan di penjara itu juga terhad. Banduan hanya diberi makan jagung hingga menyebabkan 2,000 banduan mati kekurangan zat dalam setahun. Untuk melawan masalah kekurangan zat, banduan-banduan terpaksa makan tikus di kawasan penjara.

“Rogol dan keganasan seksual adalah perkara biasa dan mana-mana banduan wanita yang menentang akan dibunuh.

“Pemerintah juga melakukan hukuman bukan hanya kepada pesalah tetapi juga seluruh keluarga yang dikurung dalam bilik dengan gas beracun, malah ada banduan dijadikan tikus makmal untuk ujian bom,” ujarnya.

Jelasnya lagi, semua kekejaman ini menjadikan penjara itu sebagai ‘destinasi terakhir’ pesalah kerana individu yang ditempatkan di sana tidak akan kembali lagi.

Selain itu, sebuah lagi penjara di Rwanda iaitu Penjara Gitarama turut dianggap sebagai yang terkejam.

Menurut laporan media antarabangsa Zee News, penjara itu dibina untuk menampung 600 banduan, namun ia menempatkan seramai 7,000 orang.

“Ia terlalu sesak sehingga ramai banduan terpaksa berdiri pada kebanyakan masa kerana tiada ruang untuk duduk atau berbaring, malah mereka tidur atas najis sendiri.

“Keadaannya amat teruk sehinggakan banduan sering terlibat pergaduhan hingga mati,” tulis laporan itu.

Tidak hanya itu, terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa ada insiden banduan memakan mayat rakan yang telah mati untuk bertahan hidup.

Dilaporkan, seramai lapan banduan mati setiap hari di kemudahan itu dan ramai yang menghidap pelbagai penyakit seperti gangren, jangkitan kuman yang menyebabkan kematian tisu dan yang boleh menyebabkan kehilangan jari kaki serta lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN