fbpx
AHIRINE AHIRUDIN

Ahirine tak jual seksi demi populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK menjaja kecantikan demi mengemis populariti segera. Itu yang berkali-kali ditegaskan bintang muda bernama Ahirine Ahirudin.

Bukan paras rupa, dia juga bertegas, imej seksi yang sering menjadi sorotan ramai juga bukanlah aset jualannya untuk meniti di bibir ramai.

Jika disorot semula, selain kerap dikecam kerana imej seksi, kualiti aktres berusia 26 tahun itu juga sering menjadi pertikaian ramai sehingga ada yang melabelnya sebagai pelakon kayu.

Namun, tanggapan tersebut berjaya ditanganinya perlahan-lahan apatah lagi selepas lakonannya sebagai heroin filem Tebus baru-baru dipuji ramai.

Katanya, untuk mendapatkan mutu lakonan sebegitu, banyak hal harus dikorbankan, termasuk perasaan terdalam akibat sering dimarahi Jason Chong, selaku pengarah di lokasi penggambaran.

SERINGKALI dilabel seksi, dia menerima segala teguran namun tetap menegaskan hanya ingin menjadi diri sendiri dan selesa dengan penampilan tersebut.
– M. FIRDAUS JOHARI

Pelakon kayu

Tidak menjeruk rasa apatah lagi membentak, anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu sebaliknya menerima semua teguran secara positif demi persembahan terbaik buat khalayak.

“Ya, memang kerap sangat saya dimarahi di set penggambaran kerana pengarah kata mutu lakonan kurang memuaskan, penjiwaan tak sampai.

“Namun saya menganggap itu semunya sebahagian daripada proses pembelajaran untuk berjaya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujarnya, dimarahi untuk memastikan kualiti lakonan menjadi lebih baik adalah perkara yang harus dihadapi, terutama sebagai pendatang baharu sepertinya.

Bukan sahaja beroleh ilmu, teguran pengarah juga mengajarnya menjadi artis lebih cekal dalam dunia seni yang penuh dengan onak duri.

“Sejak jadi pelakon, ramai pesan supaya ada mental yang kuat, terutama di set penggambaran. Kini saya yang perlu hadap walaupun kena marah di hadapan pelakon lain.

“Selalunya saya dimarahi Jason sebab gagal memberi lontaran dialog yang baik, seperti kurang penghayatan dan sekadar habiskan skrip.

“Namun, saya terima semua teguran dan tiada rasa malu pun dan saya sendiri yang minta supaya kena marah agar tak ulang perkara sama lagi,” ujar si cantik tinggi lampai itu.

MALAS melayan kerenah cinta, buat masa ini wanita berkulit sawo matang itu hanya memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjayanya yang semakin melebar.

Sedar ilmu lakonannya masih cetek, Ahirine juga sanggup menghadiri mana-mana sesi uji bakat demi meraih meraih tempat dalam karya filem mahupun drama, sekali gus membuktikan dirinya serius untuk melebarkan sayap dalam dunia lakonan.

Tegasnya, tiada istilah jalan singkat untuk bergelar bintang.

Saya sudah cakap dengan pihak pengurusan untuk hadiri uji bakat dulu sebelum terlibat dalam sesebuah naskhah.

“Tiada ‘shortcut’ dan itu prinsip saya sejak melangkah kaki ke dalam bidang ini.

“Saya nak pergi ‘casting’ sebab tak mahu malukan diri dan produksi sekiranya hasil kerja tidak memuaskan,” kongsi bintang filem Gadis Jolobu The Movie itu.

Bercakap tentang kualiti lakonan dalam Tebus, Ahirine ada mendapat bimbingan pelakon berpengalaman seperti Datuk Fauziah Nawi dan Pekin Ibrahim sebagai persediaan sebelum menjalani penggambaran naskhah yang turut dibintangi Aedy Ashraf serta Azhan Rani tersebut.

“Banyak ilmu berguna dipelajari daripada ibu Fauziah dan Pekin untuk saya menjiwai watak Ana dengan lebih baik.

“Bimbingan mereka sangat membantu, sebelum ini kaku dan sekadar bercakap untuk habiskan dialog tanpa memberi sepenuh jiwa,” jelasnya.

Tidak lengkap tanpa menelusuri soal peribadi, Ahirine tersipu malu ketika ditanya isu cinta. Namun buat masa ini, belum ada sesiapa sedang bertakhta di hati.

TIDAK pernah merasakan dirinya popular, Ahirine akan terus dengan prinsip membumi dan ingat asal usul sebelum sifat berlagak menerjah diri.

Dilarang bercinta

“Sebenarnya pihak pengurusan tidak benarkan saya bercinta buat masa ini dan minta fokus terhadap kerjaya.

“Hakikatnya saya terima permintaan tersebut memandangkan jadual kerja sekarang pun sudah cukup padat, jadi memang tak sempat nak mengenali mana-mana lelaki,” katanya.

Tambah Ahirine, jadual hariannya ketika ini hanyalah tentang kerja dan keluarga sehingga tidak sempat memikirkan tentang teman istimewa.

“Tipulah tiada keinginan untuk disayangi seorang lelaki, namun semua itu perlu ditunggu.

“Mungkin selepas kerjaya benar-benar stabil, akan dipertimbangkan semula,” katanya tertawa kecil.

Dia juga tidak menolak mengenai dakwaan cuba dipikat dan didekati ramai lelaki sejak kian dikenali ramai.

“Sejujurnya memang ada yang mendekati tetapi seperti dikatakan tadi, belum bersedia lagi untuk bertukar status.

“Kerjaya lakonan terlalu hijau dan dilabel kayu pula, lebih baik saya perbaiki kekurangan sebagai pelakon terlebih dahulu.

“Namun, siapalah saya untuk menolak aturan Allah. Kalau jodoh tiba cepat, saya akur,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

MASIH dilabel sebagai pelakon kayu, Ahirine boleh menguntum senyuman apabila lakonan bersama Aedy Ashraf dalam Tebus menuai pujian ramai.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN