fbpx

5 pemenang cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menang RM150,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sesi penyampaian hadiah pemenang cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq dan Kempen Fitrah (kategori PMKS) yang diadakan di yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto AMIN AZMAN

KUALA LUMPUR – Seramai lima pelanggan Akaun Pelaburan-i Rizq, membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan semasa majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.

Maimunah Din, diumumkan sebagai pemenang cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bagi bulan Ogos dan September bagi kategori cabutan istimewa berjumlah RM100,000.

Pemenang cabutan bulanan sebanyak RM10,000 pula, dimiliki Mohamad Rizal Mohamad Alway manakala Badaria Muhammat, meraih cabutan bulanan berjumlah RM5,000.

Khairul Azman Othman muncul sebagai pemenang cabutan negeri berjumlah RM10,000 sementara Bibi Hazrina Alli Rahman memenangi kedua-dua kategori cabutan bulanan dan negeri, sebanyak RM20,000 dan RM5,000.

Sementara itu, sesi penyampaian hadiah turut diadakan bagi Kempen Fitrah (kategori PMKS) yang merupakan kempen istimewa anjuran Bank Rakyat bersempena sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini yang berlangsung pada 7 Mac sehingga 31 Mei lalu.

Hadiah utama berupa kereta Toyota Hilux Double Cab 2.4E AT 4WD, diserahkan kepada pemenang utama, Akie Group Sdn Bhd.

Kempen tersebut turut menawarkan wang tunai RM5,000 kepada 20 orang pemenang bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan wang tunai RM1,000 kepada 100 pemenang kategori usahawan mikro.

Di samping itu, sesi cabutan bertuah khas Akaun Pelaburan-i Rizq Plus turut diadakan pada majlis berkenaan bagi menghargai peranan pengamal media yang sentiasa memberikan sokongan positif kepada Bank Rakyat selama ia beroperasi.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Bank Rakyat turut memperkenalkan program pembiayaan terbaharu iaitu program pembiayaan BRPlus-i.

“Ia inisiatif dalam mendukung pembangunan usahawan negara terutamanya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi serta usahawan wanita bagi memajukan perniagaan mereka.

“Menerusi program ini, had pembiayaan istimewa ditawarkan sehingga RM1 juta dengan kadar keuntungan kompetitif melalui peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM500 juta.

“Di samping itu, pakej khas BRPlus-i BizLady yang dibangunkan khusus untuk usahawan wanita turut disediakan dengan ciri produk dan tawaran yang sama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sama, juga bersempena dengan ulang tahun bank berkenaan yang ke-69, menjelang 28 September ini.

Beliau turut memaklumkan penawaran struktur hadiah baharu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta dengan hadiah utama bernilai RM1 juta kepada pelanggan bertuah, bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025.

“Peningkatan jumlah keseluruhan hadiah kepada RM5.8 juta berbanding RM1 juta sebelum ini bagi memastikan lebih ramai pelanggan berpeluang memenangi kategori cabutan bertuah.

“Pelanggan baharu atau sedia ada berpeluang menang tujuh kategori termasuk cabutan bulanan (kategori umum dan peringkat negeri), suku tahun, setengah tahun, cabutan ulang tahun Bank Rakyat, cabutan perayaan khas, cabutan hadiah utama dan pelbagai cabutan istimewa, malah layak menang lebih daripada satu kategori,” terangnya.

Sejak pelancaran Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, lebih 1,500 pemenang bertuah telah menerima cabutan hadiah tunai keseluruhan bernilai RM1 juta.

Selain wang tunai, di bawah struktur hadiah baru Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah berupa emas serta peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah sehingga RM100,000.

Produk pelaburan ini mula diperkenalkan pada Julai 2022 dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan baki minimum akaun serendah RM50 serta anggaran pulangan pelaburan yang kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis berkata, hadiah lumayan itu tanda penghargaan kepada sokongan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat.

“Pelanggan yang berminat boleh dapatkan maklumat berhubung Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menerusi laman web dan media sosial rasmi Bank Rakyat, hubungi Pusat Panggilan di talian 1-300-80-5454 atau kunjungi cawangan berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI