ALOR SETAR – Yang Dipertua (YDP) Pas Langkawi, Zubir Ahmad dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baharu pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pemilihan Zubir dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Pas-Jeneri) sebelum disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Ashah Ghazali (Pas-Merbau Pulas).
Zubir, 60, mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Setiausaha DUN, Mohamad Azlee Ahmad.
Terdahulu, Setiausaha DUN mengumumkan nama Zubir sebagai calon tunggal bagi jawatan itu termasuk memperoleh surat persetujuan daripada semua DUN.
Beliau menggantikan Datuk Juhari Bulat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat.
Pada majlis sama, kesemua 36 ADUN turut mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat baharu Kedah. – KOSMO! ONLINE