fbpx

Lelaki ditahan lepas 12 jam tetak budak hingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selepas 12 jam diburu, polis Lahad Datu berjaya menahan suspek yang menetak mati seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dalam kejadian di perumahan pekerja Felda Sahabat 30. -Foto IHSAN POLIS

LAHAD DATU – Selepas 12 jam diburu, polis Lahad Datu berjaya menahan suspek yang menetak mati seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di perumahan pekerja Felda Sahabat 30.

Suspek yang berusia 33 tahun dan merupakan warga asing, ditahan kira-kira pukul 7 pagi tadi oleh sepasukan polis bantuan Felda, di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, polis bantuan Felda telah mempertingkatkan rondaan kawasan berkenaan sejurus maklumat mengenai kejadian terbabit.

“Polis Bantuan Felda berjaya mengesan suspek yang berada di dalam keadaan mencurigakan di kawasan Blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah membuat tangkapan semula suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Rohan berkata, soal siasat sudah dilakukan sehingga suspek mendedahkan lokasi tersimpannya senjata berupa parang yang digunakan ketika kejadian.

“Susulan pendedahan itu, polis menemui dan merampas sebilah parang yang berukuran 0.5 meter (m) di kawasan semak, tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.

“Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dalam anggaran 2 kilometer (km)manakala jarak dari lokasi kejadian ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran hampir 2.5 km. Jarak dari lokasi tangkapan ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran 500m,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu esok bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.

Menurutnya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan terhadap senjata yang digunakan, kes ini dianggap selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh suspek iaitu rakan kepada bapa tiri mangsa di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30 dalam kejadian pukul 7.30 pagi semalam.

Mangsa kanak-kanak warga asing itu ditinggalkan oleh Ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI