SEJAK di bangku sekolah menengah, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Naim sangat menaruh hati kepada Iqa yang belajar sekelas dengannya.
Namun begitu, dia tiada keyakinan untuk meluahkan perasaan kerana rasa rendah diri yang menebal.
“Iqa boleh dikatakan ‘ratu’ di dalam kelas kerana dikurniakan raut wajah yang cantik.
“Ramai lelaki menaruh perasaan kepadanya termasuk saya sendiri,” katanya yang berasal dari sebuah negeri di utara Semenanjung kepada K2.
Naim menjelaskan, pada zaman persekolahan, Iqa boleh dikatakan seorang gadis yang agak ‘liar’ kerana sering kelihatan keluar dengan ramai lelaki lain.
Malah, Naim sendiri juga selalu melihat gadis kesukaannya itu dibonceng motosikal oleh pelajar senior.
Bukan itu sahaja, dia juga mendengar cerita bahawa Iqa ini adalah seorang ‘belen’ ataupun bohsia.
Masa terus berlalu, mereka masing-masing meninggalkan alam persekolahan dan Naim meneruskan pengajiannya ke universiti.
Dalam masa sama, sewaktu Naim di universiti, dia juga mendengar khabar bahawa Iqa telah berkahwin pada ketika itu.
Selepas tamat pengajian di universiti, Naim memilih untuk tinggal di kampung dan menguruskan perniagaan yang diusahakan oleh keluarganya.
Takdir juga telah mempertemukan Naim dan Iqa apabila mereka secara tidak sengaja terserempak antara satu sama lain di sebuah pasar raya.
“Kami kemudian saling bertukar nombor telefon dan selepas itu dia yang mula menghubungi saya.
“Kami sering berbual dan dia ada menyatakan bahawa dirinya telah berpisah dengan suaminya dan memegang status janda,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.
Pertemuan itu ternyata membuat Naim ‘gila bayang’ terhadap Iqa.
Setelah sering berhubungan antara satu sama lain, mereka menjadi semakin rapat dan akhirnya menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih.
“Pada waktu itu, saya sudah tidak mempedulikan kisah-kisah silam Iqa meskipun saya mendengar banyak perkara yang tidak baik tentangnya.
“Bagi saya, semua orang ada kisah silam dan saya gembira kerana Iqa sudi menerima saya,” jelas Naim.
Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Naim mengakui, ramai rakan-rakannya yang terkejut apabila mengetahui dia akan berkahwin dengan wanita tersebut.

Malah, ada rakannya yang menasihati agar berfikir panjang sebelum meneruskan perkahwinan itu.
Namun, disebabkan cinta membara terhadap Iqa, Naim tidak mempedulikan semua itu.
“Kami kemudian berkahwin dan saya begitu gembira kerana dikurniakan isteri yang cantik dan pernah menjadi kegilaan ramai lelaki.
“Saya juga menghadiahkan isteri saya sebuah kereta bagi memudahkan pergerakannya,” jelas Naim.
Hubungan perkahwinan mereka pada mulanya baik-baik sahaja dan dia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya.
Namun begitu, setelah hampir setahun berkahwin, Naim mengesyaki ada sesuatu yang Iqa lakukan di belakangnya.
Malah, isterinya itu sering keluar bersendirian ketika dia bekerja dan memberi alasan untuk bertemu dengan rakan-rakannya.
“Ada ketikanya isteri saya meminta kebenaran untuk masuk ke Thailand dengan rakan-rakan wanitanya hanya untuk pergi makan-makan.
“Bahkan, kami berdua sering masuk ke Thailand bersama memandangkan rumah kami tidak jauh dengan pintu sempadan negara.
“Saya tidak menaruh sebarang prasangka kepadanya dan memberi kebenaran kepadanya,” tutur Naim.
Naim bagaimanapun berkata, dia hanya mengetahui isterinya itu berlaku curang kepadanya apabila dimaklumkan oleh salah seorang rakannya.
Rakannya itu ada melihat isterinya pergi ke Thailand bersama lelaki lain.
“Atas dasar persahabatan, rakan saya ada mengikuti mereka dalam diam dan sebenarnya isteri saya dan lelaki tersebut pergi untuk ‘check in’ di sebuah hotel di sana.
“Malah, rakan saya itu juga sempat merakam video dari jauh sebagai bukti,” terang Naim.
Sebagai seorang lelaki, Naim ternyata terkejut dengan perlakuan isterinya itu.
Malah, rakannya itu juga menceritakan segala kisah silam isterinya itu kepadanya.
“Rakan saya merasa kasihan dengan saya dan dia menceritakan segala hal tentang isteri saya sebelum ini.
“Dia memberitahu bahawa ada rakan-rakannya yang lain pernah ‘pakai’ isteri saya ketika isteri saya itu masih lagi janda sebelum berkahwin dengan saya,” terangnya.
Dalam pada itu, kemudian dengan bantuan rakannya, Naim mengambil keputusan untuk mencari lelaki yang dirakam keluar dengan isterinya itu.
Akhirnya mereka bertemu dengan lelaki tersebut dan segala perilaku curang isterinya terbongkar.
Lelaki tersebut mengakui bahawa dia mengenali Iqa sudah lama iaitu sejak isterinya masih lagi janda dan mereka sering bersama untuk melepaskan nafsu masing-masing.
Malah, lelaki tersebut juga mengetahui bahawa Iqa telah berkahwin dengan Naim.
“Dia menjelaskan, isteri saya yang kembali mencarinya setelah berkahwin dengan saya.
“Sebagai seorang suami, saya ternyata kecewa dengan apa yang dilakukan oleh isteri saya itu,” terangnya.
Rakan Naim juga menasihatinya agar melepaskan Iqa kerana dia bukanlah wanita yang baik.
Rakan saya itu berkata, saya berhak untuk mendapat wanita yang lebih baik daripada Iqa.
Naim kemudian menunjukkan semua bukti kecurangan kepada isterinya itu dan Iqa hanya terdiam tanpa sebarang kata serta mengakui kesalahan itu sebelum berjanji untuk berubah.
Akhirnya, setelah berfikir panjang, Naim mengambil keputusan nekad untuk menceraikan isterinya kerana itu melibatkan hal maruah.
Mereka kemudian sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di utara Semenanjung.














