JAKARTA – Seorang ibu sanggup mencuri beberapa biji telur di sebuah pasar raya mini di Jurang Mangu, Tangerang Selatan semata-mata memberi makan kepada tiga anaknya yang kelaparan dan masih kecil, lapor portal berita inilah.com. hari ini
Kejadian berlaku pada Isnin lalu. Seorang pekerja pasar raya mengesan perbuatan ibu tersebut yang berumur 44 tahun dan menangkapnya sebelum melaporkannya kepada polis Pondok Aren.
Ketua Polis Pondok Aren, Bambang Askar Sodiq berkata, anggota-anggotanya telah menangani kes kecurian yang tersebut secara kekeluargaan atau damai dan mereka juga membayar harga telur kepada pasar raya tersebut.
“Ibu (itu) mencuri untuk keperluan hidup sehari-hari,” katanya.
Tanpa menunggu lama, beliau memerintahkan anggota-anggotanya berkunjung ke tempat ibu tersebut tinggal untuk memberikan sumbangan barangan makanan dan minuman termasuk telur kepadanya.
Malah dalam waktu terdekat ini, ibu tersebut harus membayar 700,000 rupiah (RM213.60) untuk ujian dua anaknya yang bersekolah rendah menyebabkannya nekad mencuri telur. – Agensi