fbpx

K2

Status solat jamak tanpa niat bermusafir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG musafir boleh solat jamak dan qasar tanpa niat musafir. – Gambar hiasan

KETIKA saya hendak berjalan jauh, saya terlupa niat bermusafir. Bolehkah saya solat jamak taqdim atau jamak takhir?

JAWAPAN: Ada tiga syarat sah solat musafir iaitu:

1. Perjalanan yang jaraknya 81 kilometer dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan kurang daripada jarak berkenaan.

2. Seseorang hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju, selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari, jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu, tidak harus solat qasar lagi di situ dan hak untuk solat qasar kekal ketika dalam perjalanan sahaja.

3. Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat tertentu dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan jauh. Ini kerana sudah diyakini jauh perjalanannya dan ia bukan bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba atau menyamun.

Ini kerana qasar adalah keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Tiada syarat sah yang mewajibkan bermalam. Sebaliknya, hukum syarak hanya menetapkan waktu maksimum iaitu tiga hari tidak termasuk hari pergi dan hari keluar. Berkenan dalil solat jamak ketika musafir, Ibn Abbas r.anhuma, katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW menjamakkan solat zuhur dengan asar ketika perjalanan (iaitu bermusafir) dan menjamakkan solat maghrib dengan isyak.” (Riwayat al-Bukhari – 1056)

Hadis seterusnya, daripada Ibn Abbas r.anhuma maksudnya: “Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. “Baginda menjamakkan solat zuhur dengan solat asar dan solat maghrib dengan isyak.

Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” (Riwayat Muslim – 705)

Berdasarkan keterangan itu, dibenarkan seseorang bermusafir melebihi dua marhalah melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekali pun hanya balik hari serta tidak disyaratkan untuk berniat musafir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI