fbpx

Nasib 78 mangsa ribut di Bercham dapat perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD Arafat (duduk, kiri) bergambar bersama penerima sumbangan di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta di Ipoh hari ini.

IPOH – Nasib menimpa 78 penduduk di sekitar kawasan Bercham di sini yang kediaman mereka mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut Sabtu lalu, mendapat perhatian wakil rakyat.

Bantuan tunai RM1,000 kepada setiap mangsa itu disumbangkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tambun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta serta Pejabat Pembangunan Negeri Perak.

ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, sumbangan prihatin itu disalurkan bagi meringankan beban mangsa untuk membaik pulih kerosakan kediaman masing-masing.

Katanya, sebelum ini bantuan awal telah pun diberikan kepada mangsa sejurus kejadian ribut itu berlaku seperti kanvas bagi menutup bumbung yang rosak dan kotak makanan.

“Untuk hari ini, kita serahkan bantuan berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000 kepada 40 penerima bagi fasa pertama, baki 38 penerima lagi akan diserahkan dalam masa terdekat.

“Selain itu, ada bantuan-bantuan lain yang akan diuruskan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun termasuk bagi kerja-kerja membaik pulih kerosakan bumbung yang teruk membabitkan enam buah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan di Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta di sini hari ini.

Menurut beliau, bantuan yang disampaikan itu juga sebagai manzahirkan rasa simpati dan tanggungjawab Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya.

“Walaupun sentiasa sibuk dengan tugas, beliau selalu ambil berat dan mahu tahu apa yang berlaku di kawasannya. Apabila berlaku kejadian seumpama ini, beliau tidak menunggu lama untuk bertanya kepada kami apa bantuan dan tindakan yang telah diambil,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Nur Asyikin Mohamed Zulkifli, 50, dari Taman Putra Indah berkata, bantuan tersebut meringankan beban kewangannya yang menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat bencana tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI