fbpx

Mahkamah: Tanore Finance pindah AS$681 juta masuk akaun Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa sejumlah AS$681 juta (RM2,081,476,926 mengikut kadar tukaran wang asing ketika itu) dikreditkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Mac hingga 10 April 2013.

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan berkata, daripada jumlah itu, pada 22 Mac, sebanyak AS$620 juta (RM1,893,474,962.98 mengikut kadar tukaran wang ketika itu) dikreditkan ke AmIslamic milik bekas Presiden UMNO itu daripada akaun Tanore Finance Corp. kira-kira enam saat wang yang berasal daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke akaun syarikat itu.

Sementara baki AS$61 juta dipindahkan ke akaun tersebut beberapa hari selepas itu pada 25 Mac 2013.

“Dana itu (AS$681 juta) merupakan sebahagian terbitan bon 1MDB berjumlah AS$3 bilion yang sepatutnya dilaburkan bagi usaha sama 1MDB dengan Aabar Investment PJS dikenali sebagai Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC),” katanya.

Adam Ariff memaklumkan demikian ketika membaca laporan aliran wang yang disediakannya bagi menunjukkan pergerakan dana 1MDB ke dalam akaun bekas Perdana Menteri tersebut.

Laporan itu dibacakan pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Tanore ialah syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho.

Pada 28 September 2022, saksi ke-38 pendakwaan, Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat dalam keterangannya berkata, pada Mac dan April 2013, Tanore Finance Corp memindahkan wang RM2.08 bilion ke dalam akaun Najib dikenali dengan kod nama AmPrivate Banking-MR.

Adam Ariff dalam keterangannya menyatakan, bon itu dimasukkan ke dalam akaun anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Limited (1GIL) sebelum dipindahkan kepada Tanore melalui syarikat pelaburan, Devonshire Capital Growth Fund dan Granton Property Holding Ltd.

“1GIL juga melanggan dana pelaburan syarikat Cistenique Investment Fund Enterprise Emerging Market Fund (EEMF) dengan tarikh nilai, 21 Mac 2013.

“Rekod surat menyurat juga menunjukkan bahawa jumlah nilai nominal langganan oleh 1GIL dalam EEMF dan Cistenique masing-masing ialah AS$410 juta dan AS$525 juta.

“Pada atau kira-kira 22 Mac 2013, EEMF dan Cistenique mengirim AS$50 juta dan AS$375 juta kepada Tanore. Penyata bank dan rekod Tanore mengesahkan penerimaan dana pada 25 Mac 2013.

“Pada hari sama, Tanore menggunakan dana yang diterima daripada EEMF dan Granton untuk menghantar baki AS$61 juta ke akaun AmPrivate Banking–MR, daripada arahan pemindahan AS$681 juta.

“Pada 26 Mac 2013, AmIslamic mengkreditkan ke akaun AmPrivate Banking–MR dengan RM188 juta bersamaan dengan AS$60.9 juta seperti yang ditunjukkan dalam penyata bank dan rekodnya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI