fbpx

‘Influencer’ dinasihat tidak berlebihan pamer makanan tidak sihat, tinggi gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukanisman merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya hari ini. - Foto oleh KAMARIAH KHALIDI / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati pempengaruh media sosial supaya mengambil sikap tidak berlebihan dalam mempamerkan sesuatu produk atau makanan yang tidak sihat atau mempunyai kandungan gula tinggi

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana remaja dan kanak-kanak masa kini dilihat lebih tertarik untuk mencuba makanan tular seperti dipaparkan di media sosial.

“Vape bukanlah satu-satunya penyumbang kepada gaya hidup yang tidak sihat, tetapi lebih kepada pemakanan dan pengambilan gula yang berlebihan.

“Oleh itu, saya ingin menasihati pempengaruh di media sosial supaya jangan terlalu berlebihan dalam mempamerkan makanan yang mempunyai kandungan gula tinggi.

“Sebagai contoh baru-baru ini saya lihat sebuah video di TikTok yang minum susu pekat manis dan air balang bersaiz besar, itu merupakan salah satu penyumbang kepada penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

Terdahulu menerusi ucapannya, Lukanisman berkata, peningkatan pesakit kanser dalam kalangan penduduk Malaysia membimbangkan kerana ia tertumpu kepada individu yang berusia lebih muda.

Jelasnya, kanser turut menjadi penyumbang kedua kematian pra-matang dengan 14.2 peratus pada tahun 2017.

“Dalam erti kata lain, kanser adalah antara penyebab utama kematian kepada golongan kategori umur produktif iaitu bermula daripada seawal umur 15 sehingga 49 tahun.

“Ini sekali gus menyebabkan negara akan terus mengalami kerugian daripada segi modal insan dan secara tidak langsung menyebabkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga pesakit kanser kerana kehilangan tempat bergantung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI