fbpx
PENGUSAHA restoran asam pedas di Melaka kini tidak menolak kemungkinan menaikkan harga nasi putih sebanyak 50 sen bagi menampung kos perniagaan berikutan kenaikan harga beras tempatan. – GAMBAR HIASAN

Nasi putih bakal naik 50 sen sepinggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Harga nasi putih dan menu berasaskan nasi di restoran dijangka mengalami kenaikan sebanyak 50 sen susulan harga beras tempatan yang didakwa semakin mahal akibat permintaan tinggi ketika ini.

Pengusaha restoran popular Asam Pedas 35, Norhaya­ti Baha­rom, 48, berkata, harga beras tempatan di pasaran kini meningkat mendadak sehingga mencecah perbezaan harga sekitar RM8 bagi pek 10 kilogram (kg)

“Restoran saya yang menggunakan kira-kira 50 kilogram beras beras Cap Rambutan Super Special Tempatan (SST) bagi perniagaan pada hari kemuncak di hujung minggu dan terpaksa menanggung kerugian jika mengekalkan harga nasi putih.

“Jika situasi ini berlarutan, memang terpaksa naikkan harga nasi mungkin 50 sen sepinggan, dari RM2 kepada RM2.50.

“Setakat ini, kita masih me­nunggu apa-apa pengumuman berkaitan bekalan beras ini sebelum menaikkan harga sebab kami juga kasihan kepada pe­langgan yang datang beramai-ramai bersama keluarga apatah lagi golongan B40,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini harga beras dibelinya adalah sekitar RM32, namun kini mencecah RM40 bagi kampit 10 kg.

“Peruncit beritahu kini stok beras tempatan tidak mencukupi, mungkin ada pihak pembekal yang ambil kesempatan menyorokkan bekalan dan ingin habiskan beras import mereka kerana harganya telah naik.

“Saya ada dengar kerajaan negeri akan menambah bekalan beras tempatan sebanyak 500 tan kepada peniaga bermula semalam sehingga hujung bulan ini, harap ia dapat menstabilkan semula harga pasaran,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pakman Food. Sdn. Bhd. Erni Yuslinah Abdull Rahman, 48, berkata, restorannya terpaksa menukar kualiti beras bermula minggu depan susulan kenaikan harga beras yang kini mencecah RM50 bagi 10 kg.

“Kami pakai beras wangi, harga sebelum ini RM41 telah naik hingga RM50 bagi 10 kg. Kini bekalan yang ada cukup untuk kegunaan minggu ini sahaja.

“Jadi, bermula minggu depan, kami akan cuba cari jenama beras tempatan lain, setanding de­ngan beras digunakan sekarang.

“Pilihan seterusnya, terpaksa naikkan harga mungkin sekitar 50 sen juga, dari RM2.50 sepinggan kepada RM3 bagi sepinggan nasi. Harga lauk ikan asam pedas dan menu lain bagaimanapun masih kekal sama,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 56, memberitahu, pihaknya akan menaikkan harga sepinggan nasi sekiranya harga beras import yang digunakan mencecah harga dua kali ganda.

“Kalau cecah sampai RM60, kami mungkin naikkan juga harga tetapi setakat ini kos masih boleh ditampung,” katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman mendedahkan, pihaknya menerima kira-kira lapan aduan setiap hari berkaitan bekalan isu beras tempatan yang didakwa tidak mencukupi sejak bulan lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN