fbpx

Himpunan Selamatkan Malaysia: Kertas siasatan dibuka, kesan peserta terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang hadir di di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia sempena Hari Malaysia di beberapa lokasi sekitar ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellham Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, sekitar pukul 12 tengah hari.

“Peserta himpunan tersebut kemudiannya berarak menuju ke Kompleks Sogo dengan melalui Jalan Raja Alang, Jalan Raja Abdullah, Jalan Sultan Ismail dan seterusnya berhimpun di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman pukul 1.53 tengah hari.

“Hasil daripada pemerhatian yang dibuat, didapati seramai lebih kurang 850 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli parti politik, beberapa individu yang dikenal pasti dan sedang dikenal pasti telah menyertai perhimpunan tersebut,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (b) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (e), (f) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Setakat ini, seramai 25 orang dan beberapa individu terlibat sedang dikenal pasti untuk dipanggil bagi diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI