fbpx

Himpunan Selamatkan Malaysia: 25 individu dipanggil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan.

ALOR SETAR – Seramai 25 individu akan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 22 individu sudah pun dihubungi pihaknya.

Katanya, lima individu berkenaan akan memberi keterangan esok manakala seorang lagi akan berbuat demikian lusa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Yang lain itu akan dipanggil kemudian. Banyak juga pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati kepada polis kononnya di bawah akta perhimpunan aman ini, mereka boleh berhimpun dan memiliki hak berbuat demikian.

“Seperti mana dijelaskan saya sebelum ini, perhimpunan memang tidak perlu permit tetapi mereka perlu sampaikan notis lima hari sebelum perhimpunan.

“Apabila notis itu dihantar, ada kira-kira 14 perkara yang perlu dipatuhi antaranya meminta kebenaran pemilik kawasan dan dinyatakan secara jelas lokasi perhimpunan,” katanya selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kedah Siri 1/2023, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Himpunan semalam dihadiri lebih 850 orang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira pukul 1.15 petang dan berakhir pada pukul 3.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo.

Difahamkan, antara inividu yang bakal dipanggil beri keterangan termasuklah Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin.

Tanpa mendedahkan nama individu yang bakal dipanggil itu, Ayob berkata antara mereka yang akan berbuat demikian adalah seorang wakil rakyat serta seorang individu bergelar Datuk.

Ayob dalam pada itu turut menempelak kalangan individu bergelar ‘Yang Berhormat’ (YB) yang menggunakan pelbagai alasan termasuk Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak asasi berhimpun, bagi mewajarkan perbuatan mereka.

“Undang-undang ini untuk dipatuhi dan digubal dalam Parlimen oleh YB jugalah, tetapi kalau YB tak boleh tunjuk satu contoh baik kepada masyarakat, bagaimana masyarakat nak patuhi undang-undang? Tak guna buat undang-undang tetapi kita tak patuhinya,” katanya.

Sementara itu, Ayob turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang dikatakan mahu mengadakan perhimpunan seumpamanya sekali lagi, selepas ini.

“Saya difahamkan ada juga khabar angin mengatakan mereka nak buat lagi perhimpunan. Kami akan ambil tindakan tegas dan jangan nak banding-bandingkan dengan kejadian dulu-dulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI