PETALING JAYA – Laporan awal nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu yang menolak kemungkinan faktor kesihatan dan psikologi juruterbang sebagai punca kejadian sedikit memberi kelegaan kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Adik kepada pembantu juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, Haizy Aras, 40, berkata, laporan itu menunjukkan bahawa kemalangan adalah sesuatu yang diluar jangkaan dan ia bukan berpunca daripada kesilapan juruterbang.
Bagaimanapun, katanya, pihak keluarga tetap menunggu laporan penuh bagi mengetahui punca sebenar kepada nahas yang mengorbankan 10 nyawa itu.
“Sekiranya laporan penuh cuba membabitkan juruterbang juga, kami akan buat sedaya untuk membersihkan nama mangsa yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Terdahulu, laporan awal mengenai nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 itu yang dikeluarkan semalam mendapati, kedua-dua juruterbang mempunyai rehat yang cukup sebelum penerbangan berlepas dari Langkawi.
Berdasarkan laporan yang dikongsi di laman rasmi Kementerian Pengangkutan, juruterbang iaitu Shahrul Kamal Roslan, 41, dan Heikal Aras selaku pembantu juruterbang juga tidak mempunyai masalah kesihatan serius berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.
Ia sekali gus mengenepikan faktor kesihatan dan psikologi sebagai punca nahas.
“Berdasarkan keterangan saksi, juruterbang dilaporkan dalam keadaan baik pada malam sebelum kemalangan. Saksi juga berkata juruterbang berehat dengan baik sebelum memulakan penerbangan dari Langkawi.
“Juruterbang pertama dan juruterbang kedua juga memegang sijil perubatan perubatan yang sah daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” kata laporan itu.
Berdasarkan laporan itu juga, kemalangan berlaku ketika waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti yang dilaporkan dalam pihak meteorologi atau kaji cuaca.
“Juruterbang telah dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” katanya.

Melalui laporan awal setebal 60 muka surat diterbitkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan semalam, transkripsi awal rakaman kotak perakam suara kokpit (CVR) telah selesai dan analisis fail audio sedang dijalankan pada masa laporan itu dikeluarkan.
Hasil laporan itu, rumusan awal mendapati kegagalan sistem kawalan pesawat menjadi fokus siasatan selepas memperoleh petunjuk kritikal daripada CVR mengenai punca kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan pembekal produk asal (OEM) yang belum selesai sangat diperlukan untuk menentukan punca kemalangan sebelum dimasukkan ke dalam laporan akhir.
Mendedahkan perkara tersebut, laporan awal nahas Elmina memaklumkan, transkripsi awal rakaman CVR telah selesai dan analisis fail audio sedang dijalankan pada masa laporan ini dikeluarkan.
“Transkrip daripada rakaman suara kokpit bakal dimasukkan dalam laporan akhir sekiranya penting untuk analisis dan pemahaman kemalangan itu,” kata laporan itu.
Mengulas lanjut, laporan tersebut turut menyatakan tiada bukti penemuan objek asing di kedua-dua belah enjin kiri dan kanan pesawat.
“Kedua-dua enjin tidak mempunyai bukti pembebasan bilah seperti kemek, tebuk dan bulu burung pada mana-mana komponen enjin.
“Pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara sah dan telah dikekalkan dengan mematuhi peraturan,” katanya.
Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal.
Pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, bagaimanapun ia terhempas dua minit sebelum dijadualkan mendarat.














