fbpx

17 individu termasuk 13 wanita warga asing dicekup terlibat aktiviti pelacuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA 17 individu ditahan disyaki terlibat sindiket pelacuran dalam dua serbuan di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Seramai 17 ahli sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat pelacur menerusi aplikasi media sosial ditahan dalam dua lokasi berasingan, kelmarin.

Kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan 13 wanita warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 10.40 malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi itu, kesemua suspek yang ditahan itu berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun itu.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan 17 individu termasuk 13 wanita warga asing, mereka ini disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran.

“Kita turut merampas 22 telefon bimbit, 27 keping kondom, lima gulung tisu, empat helai tuala, tiga keping kad akses, dua botol pelincir dan wang tunai berjumlah RM3,400 dan SGD50,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengawal dan mencegah kegiatan pelacuran di negeri ini.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan pelacuran mengikut undang-undang yang sedia ada.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pelacuran, boleh terus menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” jelasnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI