fbpx

Nahas Elmina: Balu nahas pesawat mahu pandang ke hadapan, tidak salahkan sesiapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

LUMUT – Balu kepada seorang mangsa nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam, pertengahan bulan lalu, ingin memandang ke hadapan dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung tragedi itu.

Suhaila Akasah, 46, menjelaskan beliau sudah menerima kejadian itu sebagai ketentuan takdir Ilahi dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Hari ini, saya ada menerima laporan awal kejadian itu (menerusi telefon bimbit) yang dihantar oleh beberapa orang, tetapi tidak baca lagi dan tidak bersedia untuk membacanya.

“Ketika menerimanya (laporan itu) tiba-tiba rasa macam menggigil dan jantung berdegup kencang, sama seperti situasi ketika mula-mula menerima berita nahas itu tempoh hari.

“Saya tidak mahu lagi menjadi seperti itu, jadi saya tidak mahu komen apa-apa atau mencari salah sesiapa, saya anggap kejadian itu takdir Allah, itu cuma asbabnya untuk Allah ambilnya (suami) kembali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suhaila adalah balu kepada Komander (B) Shaharudin Amir Omar, 49, salah seorang daripada 10 yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, Khamis lalu.

Hari ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan laporan awal nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di kawasan Elmina, Shah Alam, Selangor.

Laporan awal itu menyatakan juruterbang dan enjin pesawat bukan menjadi punca pesawat itu terhempas.

Suhaila bagaimanapun memaklumkan siasatan bagi mengetahui punca nahas itu perlu dilakukan agar tidak mengulangi kemalangan sama pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI