IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan dana sehingga RM2 juta setahun bagi melahirkan usahawan asnaf di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A).
Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, sejak program itu dilaksanakan pada tahun 2016, seramai 1,667 orang telah dilatih dan dibimbing oleh penyedia latihan yang dilantik MAIPk.
Katanya, daripada jumlah itu, lebih 1,500 orang usahawan berjaya diwujudkan sekali gus membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Program Proper A dirangka khusus di bawah agihan zakat untuk membantu sebilangan asnaf yang kita lihat ada potensi untuk dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Potensi mereka ini akan digilap agar lebih berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Setiap tahun kita akan melatih antara 200 hingga 300 orang asnaf dengan peruntukan setiap orang berjumlah RM10,000,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan Program Pemerkasaan Asnaf 2023, Spa dan Kecantikan: Perbidanan di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 20 peserta menerima kit permulaan perniagaan di bawah seliaan D Alam Spa di bawah bimbingan Pengurus D Alam Spa, Rosdziah Mohd. Zainudin.
Menurut beliau, selain berjaya mewujudkan usahawan berjaya yang memiliki perniagaan sendiri, program Proper A turut melahirkan golongan asnaf yang kini sudah menjadi pengeluar zakat. – KOSMO! ONLINE