fbpx
MEMBARISKAN 35 penghibur dengan dua hari persembahan, penganjuran kali ketiga festival Hausboom Music 2023 hujung minggu lalu berlangsung sukses.

Kegilaan, kepanasan Hausboom Music 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSERT Hausboom Music 2023 yang diadakan selama dua hari di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu lalu boleh dikatakan berlangsung dengan jayanya.

Berada di tapak konsert, kemeriahannya memang cukup terasa. Berdasarkan pemerhatian peribadi, sekitar 10,000 penonton membanjiri konsert tersebut.

Meskipun rata-rata penonton yang hadir terdiri daripada anak-anak muda tetapi 35 barisan penghibur yang diundang benar-benar memberi kepuasan maksimum kepada semua golongan usia.

Konsert pada hari pertama dibarisi penyanyi-penyanyi popular seperti Gerhana Ska Cinta, Insomniacks, Orkes A Hizadin, Naratu, Akeem Jahat, Nogood, Budak Nakal Hujung Simpang, Exists, IamNeeta, Hyndia dan Baby Shima.

Senarai penyanyi pada sebelah malam tidak kurang hebatnya, adrenalin pengunjung mencanak naik dengan persembahan bertenaga daripada Forceparkbois X Chronicalz, Alif Satar & The Locos dan paling dinantikan sudah tentu tiga buah band terkenal iaitu Spider, Bunkface dan Search.

Tidak banyak bicara, hanya dengan petikan gitar daripada vokalisnya Tam, sudah cukup membuatkan peminat teruja apatah lagi apabila Spider mendendangkan seleksi lagu popular seperti Aladin, Cinta Dewa Dewi, Relaku Pujuk dan Laukku Cukup Masin.

Ratu rock negara, Ella turut memanaskan pentas Hausboom Music 2023 pada hari kedua persembahan. – IQBAL ROSLI, AMIN AZMAN dan SYAKIR RADEN

Kehangatan konsert diteruskan oleh Bunkface yang terkenal dengan ‘kegilaan’ mereka di atas pentas. Pengalaman selama 18 tahun sebagai sebuah band ternyata menjadikan persembahan mereka cukup sempurna.

Ditambah vokalisnya Sam begitu bijak berinteraksi dengan peminat malah turut menjemput seorang peminat naik ke atas pentas menyanyikan lagu Rentak Laguku.

Namun, suasana berubah menjadi sedikit tegang apabila pasukan keselamatan merampas mikrofon dan meminta peminat itu turun dari pentas.

Walhal aksi Bunkface mengundang peminat menyanyi di atas pentas adalah satu kelaziman dalam setiap persembahan mereka. Bahkan peminat setia sememangnya ternanti-nanti momen sebegitu yang sudah menjadi identiti Bunkface.

BERDASARKAN pemerhatian, rata-rata pemonton yang hadir menyaksikan Hausboom Music 2023 terdiri daripada kalangan anak muda.

Belajar daripada ‘dosa’ Matty Healy

Penganjur sepatutnya lebih memahami setiap karakter pemuzik yang dijemput. Interaksi bersama peminat itu dirasakan bukanlah satu kesalahan selagi tidak mendatangkan ancaman kepada penyanyi mahupun pengunjung lain.

Barangkali pada hemat pihak penganjur langkah tersebut diambil kerana mereka lebih berjaga-jaga selepas kontroversi persembahan band terkenal Britain, The 1975 dalam Festival Good Vibes yang menyebabkan keseluruhan acara dibatalkan serta-merta.

“Saya minta maaf semua, terutama pada orang yang saya jemput naik ke atas pentas. Ini bukan salah saya, apa pun penganjur anda sudah menjemput Bunkface, memang kami gila-gila dan inilah persembahan kami. Apa pun saya minta maaf kepada semua termasuk penganjur,” kata Sam.

Bunkface meninggalkan pentas dengan semangat yang begitu tinggi buat peminat selepas mendendangkan barisan lagu berhantu seperti, Malam Ini Kita Punya, Panik dan Revolusi.

Artis versatil, Alif Satar turut membuat persembahan dengan bandnya, The Locos.

Legenda

Kumpulan legenda Search yang menutup hari pertama konsert dengan cemerlang menerusi lagu berhantu, Fantasia Bulan Madu.

Sungguhpun begitu, adrenalin penonton yang hadir agak mendatar apaabila Search memilih untuk mendendangkan lagu-lagu yang bersifat deepcut atau agak kurang popular.

Penonton dilihat mula beransur pulang ketika Search masih di atas pentas. Bukanlah Search tidak memberi persembahan yang hebat, namun seleksi lagu yang dipersembahan tidak begitu mesra penonton memandangkan bukan semua penonton terdiri daripada peminat tegar Search.

Joe FLIZZOW antara penghibur yang memanaskan pentas festival muzik terbesar yang diadakan di Litar Antabangsa Sepang baru-baru ini.

Justeru, lagu-lagu yang didendangkan dirasakan agak asing di telinga audiens. Namun, penantian penonton terubat apabila Search mendendangkan lagu wajib mereka iaitu Isabella sebagai persembahan penutup.

Konsert pada hari kedua berlangsung dengan tenang apabila cuaca turut memberi kerjasama berbanding hari pertama yang hujan pada sebelah petang.

Antara barisan penyanyi yang beraksi adalah Midnight Fusic, 53 Stu, Gard Wuzgut, Luqman Podolski, Iqbal M., Grey Sky Morning, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Salammusik, Toko Kilat, Masdo dan Alyph x Sonaone.

MESKI cuaca tidak menentu, pengunjung Hausboom tetap bersemangat menunggu sehingga ke penghujung acara.

Ketika persembahan SOG, mereka membawakan penampilan khas daripada penyanyi Shila Amzah dengan membawakan lagu Pelukan Angkasa.

Manakala, Masdo pula menampilkan Aisyah Aziz untuk mempersembahkan lagu popular mereka berjudul Pujaanku yang kini sudah mencecah jutaan tontonan dalam YouTube.

Sebelah malam, suasana menjadi lebih hangat dengan pembukaan persembahan hebat kumpulan Dolla yang membuatkan penonton larut dengan nyanyian dan tarian mereka.

Rata-rata peminat ternanti-nanti persembahan kumpulan wanita sensasi yang dianggotai oleh Sabronzo, Syasya, Tabby dan Angel itu.

Lebih menghangatkan suasana apabila Mr. President, Joe Flizzow tampil mendendangkan beberapa buah lagu termasuk lagu terbaharunya yang berjudul Sunyi.

Tidak dilupakan persembahan hebat daripada sifu, Datuk M. Nasir yang sangat teruja dapat beraksi di pentas Hausboom Music 2023.

PERSEMBAHAN Baby Shima dengan gelekan ‘mautnya’ memanaskan kehangaatan konsert Hausboom Music 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor hujung minggu lepas.

Lenggok tarinya dan nyanyian yang meniup semangat menerusi dendangan lagu Apokalips, Mentera Semerah Padi, Gerhana, Tanya Sama Itu Hud Hud dan Raikan Cinta ternyata ‘kena’ dengan mood persembahan.

Secara keseluruhannya Hausboom Music 2023 berlangsung dengan jayanya daripada segi pengurusan, sistem bunyi dan persembahan penyanyi.

Satu hal yang harus diakui adalah konsert seperti ini lebih ‘berjiwa’ muda kerana rata-rata penontonnya adalah golongan muda, sesuai dengan lokasi dan suasana konsert yang memerlukan penonton berdiri.

Meskipun begitu, rata-rata penonton berpuas hati dengan persembahan penyanyi kesayangan masing-masing hatta terpaksa berpanas dan berhujan sepanjang konsert berlangsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN