fbpx

Wanita maut, Proton Wira dirempuh lori di lorong kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Proton Wira dinaiki Sadiah sekeluarga yang remuk teruk dilanggar lori di KM 65, Jalan Kuala Terengganu - Permaisuri berhampiran Kampung Nyatoh, Setiu hari ini.

SETIU – Seorang wanita warga emas maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki bersama empat ahli keluarga lain dirempuh sebuah lori di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu – Permaisuri berhampiran Kampung Nyatoh di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 3.10 petang itu, mangsa, Sadiah Chik, 74, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang maut akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.

Tiga ahli keluarga mangsa termasuk seorang budak lelaki berusia tiga tahun dan anak lelakinya berumur 29 tahun yang memandu kenderaan itu terselamat.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, Sadiah sekeluarga dikatakan dalam perjalanan ke Kolam Udang Kampung Nyatoh dari Penarik di sini.

“Sewaktu kejadian, kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dikatakan berhenti di lorong kecemasan sebelum dirempuh sebuah lori dari arah belakang.

“Lori yang dinaiki dua lelaki berusia masing-masing 29 dan 54 tahun itu dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bahru, Kelantan setelah menghantar barang di sebuah pasar raya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Afandi berkata, Sadiah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI