fbpx
Gambar hiasan.

Kota ke-6 tertinggi bilangan pelancong 2023, KL atasi New York, Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEADAAN cuaca pada pagi itu sedikit mendung dan berangin. Ini membolehkan wanita berambut perang itu menikmati pemandangan mercu tanda Kuala Lumpur dengan nyaman.

Wanita bernama Angela de Graaf, 56, itu ligat merakam setiap sudut pemandangan ibu kota menerusi kamera digital kecil yang sentiasa berada pada tangannya.

Sesekali wanita dari Belanda itu berbisik kepada suaminya, Jan de Graaf, 61, yang kagum dengan keindahan ibu kota Kuala Lumpur.

Baru pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, pasangan tersebut menggunakan perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat, Hop-On Hop-Off (HOHO) untuk menerokai Kuala Lumpur.

Menurut Angela, tidak pernah terlintas dalam fikiran dia dan pasangan untuk melawat Kuala Lumpur biarpun sering ke Bangkok, Thailand.

Namun, perkongsian anak mereka mengenai pengalaman indah sewaktu bercuti di Kuala Lumpur menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri pasangan tersebut.

Bagi merasai sendiri pengalaman yang dicanang oleh anak mereka, pasangan itu membuat keputusan untuk datang bercuti di Kuala Lumpur pada tahun ini.

“Mengagumkan! Itu adalah perkataan yang paling tepat bagi menggambarkan pandangan kami sepanjang mengelilingi Kuala Lumpur sambil menaiki bas HOHO.

“Kuala Lumpur unik kerana ia bukan sahaja ada mercu tanda yang tinggi dan megah, malah ada perkampungan tradisional di tengah-tengahnya.

“Saya dan suami tidak sabar untuk terokai semua tempat yang boleh dilawati sepanjang percutian kami di sini nanti,” katanya kepada K2.

Berbeza dengan pasangan dari Belanda itu, Shaadi, 33, dari Iran mendedahkan bahawa Kuala Lumpur bukanlah satu lokasi underrated bagi masyarakat Semenanjung Arab atau Asia Barat.

Pelajar universiti yang sudah sebulan berada di Malaysia itu mengakui sudah merancang melawat Malaysia sejak sekian lama.

Malah, wanita yang datang ke Malaysia secara solo itu sudah memiliki makanan tempatan kegemarannya.

“Nasi kandar, nasi lemak dan roti bakar telur merupakan makanan tempatan kegemaran saya.

“Selain itu, saya suka membeli-belah di sini kerana barangnya murah berbanding di bandar raya lain,” katanya yang menginap di Swiss Garden.

Sebagai rekod, Kuala Lumpur disenaraikan sebagai kota raya keenam paling banyak dilawati di dunia dengan sejumlah 13.79 juta pelancong memasuki ibu negara pada 2023.

Kedudukan itu meletakkan Kuala Lumpur di atas bandar raya terkenal seperti New York, Amerika Syarikat (13.60 juta), Istanbul, Turkiye (13.40 juta), Tokyo, Jepun (12.93 juta) dan Seoul, Korea Selatan (11.25 juta).

Data yang diterbitkan pada Jun lalu itu berdasarkan kajian Indeks Bandar Destinasi Global oleh Mastercard.

Bagi melonjakkan lagi kadar kemasukan pelancongan di Kuala Lumpur, perkhidmatan bas HOHO yang berpangkalan di Plaza Sungei Wang menawarkan dua laluan pada waktu siang iaitu laluan bandar (city route) dan laluan taman (garden route) bermula bermula 17 Julai lalu.

Bas HOHO laluan bandar akan melalui Masjid India, Kampung Baru, Istana Budaya, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Menara Kuala Lumpur, Jalan P. Ramlee, Aquaria KLCC, Kompleks Kraf, Exchange 106, Bukit Bintang dan Tengkat Tong Shin.

PARA pelancong tidak melepaskan peluang mengunjungi butik-butik jenama mewah yang terdapat di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sementara bas HOHO laluan taman pula akan melalui Swiss Garden, China Town, Pasar Seni, Little India, KL Sentral, Muzium Negara, Istana Negara, Tugu Negara, Taman Burung, Masjid Negara, Dataran Merdeka, Chow Kit, Sunway Putra dan Merdeka 118.

Pada waktu malam pula, perkhidmatan KL City of Lights pula ditawarkan dengan satu laluan iaitu melalui Saloma Link, Menara KL, China Town, Pasar Seni, Little India, Istana Negara, Dataran Merdeka dan KLCC.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Azmi Abdullah, Kuala Lumpur memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia secara keseluruhan.

Ini kerana, status Kuala Lumpur sebagai ibu negara menjadikan ia pintu masuk utama pelancong ke Malaysia.

Antara segmen pelancongan yang mampu menarik pelancong melawat Kuala Lumpur adalah pusat beli-belah, taman tema, gastronomi, percutian, perubatan, sukan, pendidikan serta budaya dan warisan.

“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan produk-produk pelancongan yang ada di Kuala Lumpur dapat dibangunkan dan dipromosikan pada pelbagai peringkat.

“Kami juga membuka empat Tourism Information Centre (TIC) untuk menyampaikan maklumat pelancongan secara terus kepada pelancong.

“Lokasi TIC adalah di Bangunan Sultan Abdul Samad, KL Sentral serta Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” jelasnya sambil memaklumkan, pencapaian diraih Kuala Lumpur mungkin impak daripada promosi giat yang dilakukan.

Tambahnya, usaha berterusan dilakukan pihak Tourism Malaysia Wilayah Tengah dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meletakkan Kuala Lumpur setaraf Bangkok (Thailand) dan Paris (Perancis) berada di carta teratas kota raya paling ramai dilawati di dunia.

“Selain melaksanakan program Cuti-cuti Malaysia Roadshow bagi merangsangkan pasaran domestik, kami sentiasa giat mempromosikan Kuala Lumpur di luar negara.

“Ini termasuk penyertaan Tourism Malaysia di World Travel Market di London, England; Arabian Travel Market di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu; Internationale Tourismus Börse di Berlin, Jerman; Borza Internazionale de Turismo di Milan, Itali; Moscow International Travel & Tourism di Moscow, Russia serta Top Resa di Paris,” jelasnya.

BANGUNAN pencakar langit yang menjadi mercu tanda negara merupakan antara daya tarikan pelancong ke Kuala Lumpur.

Maklumnya, data menunjukkan bahawa pelancong paling ramai datang dari negara-negara sekitar Asia iaitu Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, India, China, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam selain Australia.

Sementara itu, pensyarah di Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Basri Rashid berkata, tarikan pelancongan ke destinasi bandar seperti Kuala Lumpur sering dikaitkan dengan bangunan pencakar langit yang ada di negara tersebut.

Ini bermakna, status Merdeka 118 sebagai bangunan baharu berstatus kedua tertinggi dunia dan tertinggi di Asia Tenggara berpotensi melonjakkan populariti Kuala Lumpur.

Selain itu, kedudukan nilai ringgit mempengaruhi keputusan pelancong asing, terutama dari negara-negara maju atau negara yang tinggi nilai pertukaran mata wang dari Malaysia untuk datang membeli-belah di sini.

“Kalau dilihat menerusi kajian-kajian lalu, motivasi pelancong untuk datang ke bandar mempunyai kaitan dengan bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda negara tersebut.

“Biasanya, pelancong akan tertarik untuk melawat satu-satu destinasi apabila ada tarikan baharu seperti Merdeka 118.

“Selain pencakar langit, Kuala Lumpur juga merupakan syurga membeli-belah bagi barangan berjenama seperti di Bukit Bintang.

“Kemungkinan penurunan nilai ringgit membuatkan lebih ramai pelancong datang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Ulasnya, Kuala Lumpur memiliki pelbagai tarikan buatan manusia seperti bangunan, kulinari dan rekreasi.

“Keunikan Malaysia sebagai negara majmuk dapat diterjemahkan menerusi pelbagai tarikan di Kuala Lumpur.

“Saya percaya, penganjuran aktiviti berkaitan budaya, makanan, perayaan dan seumpamanya turut memainkan peranan penting,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN