KREDIBILITI dan versatiliti anak seni bernama Nam Rom dalam menghidupkan setiap watak tampak semula jadi, seolah-olah dilahirkan memang untuk bergelar seniman.
Meski disua watak antagonis, karakter seram mahu pun peranan orang gila, semuanya dijayakan dengan sempurna sehingga tiada ruang untuk diungkit waima sepotong ayat kecaman.
Pernah menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem ke-29 (FFM29) menerusi filem Reda dan diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 (One Two Jaga), ilmu seni yang mengalir dalam dirinya selayaknya dijadikan rujukan.
Minat, usaha, rezeki
Begitupun, hanya jauhari mengenal manikam. Pemilik nama lengkap Shahili Abdan itu tidak menafikan ramai pendatang baharu mempunyai minat, namun di sebalik keinginan, tiada kesungguhan dan usaha dipertaruhkan.
Minat sahaja juga tidak mencukupi waima platform media sosial kini membuka seluas-luasnya peluang untuk sesiapa sahaja mahu menjadi pelakon.

“Ramai sebenarnya menunjukkan minat berlakon. Kalau pelakon baharu itu ada kesungguhan, saya memang terbuka untuk membantu, namun tetap berbalik kepada usaha mereka.
“Cuma sebagai orang yang lebih berpengalaman, saya dapat lihat tiada usaha mereka ke arah memperbaiki mutu lakonan,” tuturnya.
Bagaimanapun, aktor berusia 54 tahun itu melihat laluan untuk benar-benar bertapak dalam industri seni bukanlah jalan bebas pancaroba, meskipun sudah berusaha, semuanya berbalik kepada rezeki.
“Apa yang saya boleh katakan, dunia lakonan ini sangat kompleks, selain usaha, minat, bakat dan pakej yang lengkap, semuanya bergantung takdir.
“Percayalah, saya kenal ramai penggiat seni yang ada rupa, bakat dan kegigihan, namun sekadar diambil sebagai pelakon pembantu dek kekurangan pengikut di media sosial.
“Sesungguhnya, Allah sebaik perancang, boleh jadi apa yang kita mahu itu bukanlah yang terbaik untuk kita, usaha sekeras mana pun, jika bukan milik kita, tak dapat juga,” tuturnya panjang lebar.
Paling utama kata Nam Ron, pendatang baharu perlu berani mencuba sesuatu di luar kotak, jangan berputus semangat dan jika takdir seolah-olah mengatakan tidak, bawalah diri beralih tempat.
Ditanya tentang peralihan penonton kini yang semakin menghargai bakat pelakon lama seperti Bell Ngasri dan Beto Kusyairy sehingga diangkat menjulang anugerah kategori popular, Nam Rom berpendapat perkara tersebut hanya bermusim.
Sokongan hanya bermusim
“Saya melihat benda ini dari sudut yang berbeza, sejujurnya perkara sebegini lebih kerana tular, bukanlah sebenar-benarnya perubahan seperti didakwa.
“Macam kita lihat Bell dan Beto Kusyairy dicalonkan untuk anugerah kategori popular baru-baru ini, kita tahu adanya gerakan (pasukan) mereka sendiri yang mahukan seseorang individu itu menang, mesti ada ‘trigger factor’.
“Semuanya tidak diduga, mungkin ada gerakan yang mahu lihat keputusan berbeza dan benda macam ini, kita tidak boleh paksa kerana mereka akan secara tiba-tiba menyokong artis yang ingin dilihat sebagai pemenang,” jelasnya dalam nada serius.

Tambah anak jati Kangar, Perlis itu lagi, kuasa sememangnya di tangan khalayak, namun perkara tersebut tidak akan berpanjangan atau barangkali akan terhenti tahun ini sahaja.
“Saya gembira pelakon berkualiti sudah mula dihargai, sekali gus menangkis dakwaan bahawa anugerah kategori popular hanya untuk mereka yang punya ramai pengikut, namun saya tidak yakin benda ini akan berpanjangan.
“Maksudnya, perkara tersebut tidak akan berlaku lagi pada tahun-tahun seterusnya.
“Mungkin hanya sesekali ataupun sekali itu sahaja, cukup fenomena Mawi dahulu menjadi contoh,” katanya.
Enggan terlalu larut dalam perihal rezeki dan peluang, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkongsi pula pengalaman membintangi naskhah berjudul Walid yang bakal ditayangkan pada 14 September nanti.
Bebas jadi antagonis
Kata Nam Ron, pada awal kemunculan dahulu, dia sering ditawarkan watak jahat sehingga peranan antagonis sinonim dengannya, tambahan pula wajah bengis menjadi nilai tambah.
Meskipun filem dan peranannya sangat berat, karakter Pak Ku yang dimainkan menjadi lebih istimewa memandangkan sudah lama tidak membawa watak antagonis.
“Watak Pak Ku mengetengahkan karakter ahli perniagaan yang licik, cara pembawakan dan percakapan juga macam ular, berbelit-belit.
“Tapi, karakter antagonis memberi ruang bebas untuk saya. Dari segi percakapan pun boleh cakap apa sahaja sebab watak itu memang jahat.
“Berbeza dengan watak ‘putih’ yang menuntut kita menjaga bahasa setiap kali dialog dilontarkan,” jelasnya.
Mula ditayangkan menjelang 14 September ini, Walid juga pernah ditayangkan di Cinema Village, New York pada 28 Julai hingga 3 Ogos dan di Laemmle Glendale, Los Angeles pada 11 Ogos hingga 17 Ogos lalu.














