fbpx

Warga emas maut ketika hantar cucu sambung belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang warga emas maut dalam nahas jalan raya membabitkan tujuh kereta termasuk dua buah treler, awal pagi tadi

SEBERANG PERAI – Warga emas yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan tujuh kereta termasuk dua buah treler awal pagi tadi, dikatakan dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Perlis untuk menghantar cucunya menyambung pengajian, di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Tiam berkata, selain wanita berusia 76 tahun itu, turut berada dalam kereta jenis Toyota Corolla tersebut ialah sepasang suami isteri berusia 54 dan 48 tahun yang dipercayai anak serta menantu mangsa serta dua cucunya berusia 19 dan 22 tahun.

Katanya, kesemua mereka cedera parah termasuk pemandu kereta tersebut iaitu lelaki yang berusia 54 tahun, dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut manakala isteri serta kedua-dua anaknya dikejarkan ke Hospital Parit Buntar (HPB) di Perak, untuk rawatan lanjut.

“Turut mengalami cedera parah dan dikejarkan ke HPB ialah pemandu lori treler berusia 24 tahun yang membawa muatan kayu dalam kejadian berkenaan.

“Pada masa yang sama, dua lagi mangsa yang merupakan penumpang kereta Perodua Bezza iaitu wanita berusia 24 dan 44 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jelas Ah Tiam, selain lima kenderaan tersebut, kemalangan itu turut melibatkan dua buah kereta lain iaitu Proton Waja dan Perodua Bezza di laluan bertentangan, selepas pemandunya gagal mengelak muatan kayu yang terjatuh ke arah kenderaan mereka.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Ah Tiam memberitahu, siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku apabila treler yang membawa muatan kayu tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan penghadang lebuh raya dan dirempuh sebuah lagi treler dari arah sama.

Katanya, treler terbabit kemudian dirempuh pula kereta Toyota Corolla sebelum berlaku pelanggaran secara berturut-turut apabila dua lagi kenderaan iaitu Perodua Alza dan Bezza juga gagal mengelak daripada terlibat dengan kemalangan itu.

“Secara keseluruhannya, 16 orang mangsa terlibat dalam kemalangan itu dengan seorang daripada mereka meninggal dunia, lima cedera parah, dua cedera ringan manakala lapan lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan,” ujar beliau.

Terdahulu, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di Kilometer (KM) 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap dekat sini itu dilaporkan telah menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya yang teruk sehingga empat jam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI